Sentimen pulih, ringgit terus meningkat pada sesi awal

Bernama
Julai 30, 2024 03:50 MYT
Pada 8 pagi, ringgit di paras 4.6330/6400 daripada paras 4.6350/6375 pada akhir urus niaga semalam. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, mencecah 4.63 yang kali terakhir dicatat pada Januari lepas, didorong oleh peningkatan sentimen susulan potensi AS menurunkan kadar faedah serta prospek pertumbuhan di peringkat domestik.
Pada 8 pagi, ringgit di paras 4.6330/6400 daripada paras 4.6350/6375 pada akhir urus niaga semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan menunjukkan trend positif apabila potensi AS menurunkan kadar faedahnya terus mendapat momentum.
"Aliran ringgit yang positif itu membawa kepada prospek perbezaan kadar faedah lebih rendah antara Kadar Dana Fed (5.50 peratus) dan Kadar Dasar Semalaman (3.00 peratus) yang kini berada pada 2.50 peratus," katanya kepada Berrnama.
Beliau berkata ringgit akan terus diniagakan mengukuh berikutan nilai semasanya yang sememangnya dinilai lebih rendah.
"Sasaran akhir tahun saya bagi ringgit telah disemak kepada RM4.50 daripada RM4.65 berbanding dolar AS," katanya.
Laporan sebelum ini menyatakan ringgit turut muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di pasaran Asia, manakala kebanyakan mata wang lain stabil berbanding dolar AS.
Sementara itu, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.0115/0191 daripada 5.0225/0252 pada Isnin dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0129/0177 daripada 3.0158/0176 sebelum ini.
Bagaimanapun, unit tempatan itu rendah berbanding pound Britain kepada 5.9562/9652 daripada 5.9472/9504 pada penutupan Isnin.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.4492/4547 daripada 3.4499/4521 semalam dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8723/8993 daripada 12.8947/9063 sebelum ini.
Ringgit bagaimanapun hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 284.5/285.1 daripada 284.6/284.9 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.92/7.93.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #ASEAN #mata wang asing