Sentimen perniagaan Malaysia kembali positif pada suku pertama 2024 - BCI RAM-CTOS
Bernama
April 9, 2024 05:20 MYT
April 9, 2024 05:20 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) RAM-CTOS, yang menilai sentimen perniagaan berpandangan ke hadapan di Malaysia, meningkat kepada 53.4 pada suku pertama 2024 selepas dua suku berturut-turut mencatatkan penurunan.
Skor positif yang berada di atas paras neutral 50 itu menunjukkan sentimen positif dan negatif telah dicatatkan berbanding penurunan yang direkodkan semasa suku ketiga 2023 pada 50.4 dan suku keempat 2023 pada 48.9.
"Sentimen meningkat dicatatkan dalam semua lima aspek menjalankan perniagaan yang dikaji memandangkan responden yakin dengan jualan lebih tinggi, pelaburan modal dan prospek pengambilan pekerja namun tekanan kos yang masih tinggi mengekang jangkaan keuntungan mereka," menurut RAM Holdings Bhd dan CTOS Data Systems Sdn Bhd dalam kenyataan bersama pada Selasa.
Mengulas mengenai sentimen yang bertambah baik itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Eksekutif RAM Holdings Bhd, Chris W K Lee berkata, bacaan BCI terkini itu bertepatan dengan dengan data makroekonomi dan perdagangan yang kukuh baru-baru ini, menandakan ekonomi Malaysia bersedia untuk pertumbuhan lebih tinggi tahun ini.
"Ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 pada 4.5 hingga 5.5 peratus yang dibuat oleh RAM, pecutan selepas agak lemah pada 3.7 peratus tahun lepas," katanya.
Sementara itu, CEO Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger berkata, walaupun BCI terkini menunjukkan peningkatan yang ketara namun, syarikat perlu memanfaatkan sentimen positif itu dengan bijak untuk mengharungi cabaran akan datang terutama mengenai prospek keberuntungan dalam keadaan kenaikan kos.
"Melakukan amalan terbaik pengurusan kredit adalah penting dalam memanfaatkan peluang ini dengan berkesan.
"Dengan mengutamakan penilaian kredit berhemat dan memupuk hubungan kewangan yang baik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran dan memanfaatkan peningkatan ekonomi yang sedang pesat membangun," katanya.
Menurut kaji selidik itu, peningkatan kos dalam menjalankan perniagaan terus mendahului senarai cabaran bagi kaji selidik kesembilan berturut-turut dan disebut lebih meluas berbanding suku lepas.
Kaji selidik BCI mendapati kira-kira 90 peratus daripada 115 firma yang ditinjau menyatakan peningkatan kos sebagai cabaran utama mereka dalam tempoh tiga bulan akan datang.
"Persaingan semakin sengit yang merupakan cabaran utama lain yang dinyatakan oleh lebih 60 peratus firma juga boleh mengehadkan keupayaan mereka untuk menanggung kos sepenuhnya, sekali gus menjejaskan keberuntungan walaupun prospek jualan lebih tinggi," jelas RAM dan CTOS.
Kaji selidik itu juga mendapati kira-kira 50 peratus responden terutamanya PKS bergantung kepada persatuan perdagangan atau perniagaan untuk menyediakan rangkaian sokongan yang cekap dan penting dalam segmen perdagangan mereka.
RAM dan CTOS menjelaskan bahawa agensi kerajaan iaitu SME Corporation Malaysia (SME Corp), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) juga agak popular, dinyatakan oleh kira-kira satu perempat daripada firma yang ditinjau.
"Semua agensi ini menyokong PKS melalui pelbagai inisiatif seperti geran, latihan dan program perniagaan.
"Walau bagaimanapun, jangkauan aemua agensi ini boleh dipertingkatkan kerana sesetengah responden (28 peratus, terutamanya PKS) tidak mengetahui bantuan tersebut," tambahnya. - BERNAMA