Sentimen perniagaan di Malaysia kekal baik - Pegawai MIDA

Bernama
Februari 27, 2020 07:32 MYT
MIDA menjangkakan sentimen perniagaan di Malaysia kekal baik walaupun dalam senario pasaran global yang tidak menentu
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan sentimen perniagaan di Malaysia kekal baik walaupun dalam senario pasaran global yang tidak menentu pada masa ini, termasuk kebimbangan membabitkan COVID-19 serta keadaan politik domestik.
Timbalan Pengarah Kanan Unit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Farez Amha Abdullah berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pelabur tempatan dan asing yang berminat menyertai Projek Pemacu Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor ECRL tersebut.
"Perbincangan antara MIDA dan pelabur mewakili pelbagai sektor itu masih dijalankan dan tidak lama lagi pihak berkuasa akan mengumumkan angka pelaburan yang mana kita mempunyai jangkaan tinggi terhadapnya bagi tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas acara seminar separuh hari mengenai peluang di Wilayah Ekonomi Pantai Timur anjuran MIDA di sini, pada Khamis.
Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA Ahmad Khairuddin A Rahim, berkata agensi itu yakin menerusi EAP, projek rel itu akan menyumbang dari segi mengurangkan jurang antara bahagian pantai barat dan timur Semenanjung Malaysia berdasarkan potensi pertumbuhan bagi sektor perindustrian, pelancongan dan komersial di wilayah berkenaan.
"MIDA juga komited untuk menarik pelaburan berkualiti yang dapat melengkapi pertumbuhan dan peningkatan perniagaan tempatan," katanya.
Menurutnya, penggiat tempatan juga digesa memanfaatkan inisiatif seperti latihan industri, program vendor dan inisiatif strategi penempatan bagi meningkatkan usaha mengatasi jurang yang terdapat dalam ekosistem perniagaan.
Sementara itu, mengulas pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan, Farez berkata : "Saya berharap pakej itu bagus. Tunggu dan lihat apa yang bakal diumumkan."
Unit ECRL itu ditubuhkan pada tahun lepas dan berperanan sebagai pusat bagi tujuan kemudahan dan menggalakkan pembangunan EAP di sepanjang koridor ECRL.
Projek landasan berkembar sejauh 640 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor, dijadual siap menjelang Disember 2026 dengan kos sebanyak RM44 bilion.
Pakej rangsangan ekonomi itu dijadual diumumkan oleh Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad petang ini bagi menangani impak penularan COVID-19.
-- BERNAMA
#ECRL #MIDA #Pantai Timur #Projek Pemacu Ekonomi EAP #Ransangan Ekonomi
;