Sentimen berhati-hati dorong ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS
Bernama
Februari 28, 2025 10:25 MYT
Februari 28, 2025 10:25 MYT
Di sebalik asas ekonomi Malaysia yang kukuh, Mohd Afzanizam menegaskan, kekurangan pemangkin tempatan telah mempengaruhi permintaan terhadap ringgit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan sentimen berhati-hati dan kekurangan pemangkin tempatan.
Pada 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.4530 berbanding dolar AS daripada 4.4410/4480 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga dan pelabur berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS malam ini, ukuran inflasi pilihan Rizab Persekutuan (Fed) AS.
"Sehubungan itu, ringgit boleh kekal rendah hari ini dengan dolar AS-ringgit berkemungkinan berlegar di sekitar paras rintangan segera pada RM4.45," katanya kepada Bernama.
Di sebalik asas ekonomi Malaysia yang kukuh, beliau menegaskan bahawa kekurangan pemangkin tempatan telah mempengaruhi permintaan terhadap ringgit.
"Aliran dana asing dalam ekuiti kekal negatif bulan ini. Dari 3 hingga 26 Februari, aliran keluar bersih berjumlah RM1.5 bilion manakala pada Januari terdapat RM3 bilion dalam jualan bersih.
"Sejak lima bulan lepas secara berturut-turut, pelabur asing telah menjadi penjual bersih dalam pasaran ekuiti kami walaupun prestasi pasaran bon meningkat sedikit. Ini adalah risiko sistemik dan bukannya gambaran asas kerana ekonomi kita kekal kukuh," katanya.
Memetik laporan mengenai aliran keluar asing dalam pasaran serantau, beliau berkata pada Februari, India mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak US$2.72 juta, Indonesia (US$452.1 juta), Korea Selatan (US$605.6 juta) dan Taiwan (US$110.4 juta).
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6090/6317 daripada 5.6303/6392 dan melonjak berbanding euro kepada 4.6284/6472 daripada 4.6559/6633, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9657/9779 daripada 2.9634/9683.
Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3015/3153 daripada 3.3122/3177 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0636/1241 daripada 13.0964/1240, namun ia susut berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.73 daripada 7.67/7.69 ketika ditutup semalam dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 270.5/271.8 daripada 269.8/270.4.
-- BERNAMA