Senat lulus undang-undang FTA Australia-M'sia

Bernama
November 30, 2012 15:21 MYT
Senat Australia meluluskan rang undang-undang untuk mewujudkan hubungan perdagangan yang lebih kukuh dengan Malaysia melalui perjanjian perdagangan bebas baru.
Anggota Senat meluluskan undang-undang untuk melaksanakan perjanjian itu pada Khamis, yang akan membawa kepada hampir semua barang Australia dapat memasuki Malaysia tanpa duti import.
Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia akan menjamin kemasukan bebas tarif bagi 97.6 peratus barang-barang yang dieksport dari Australia selepas ia mula berkuat kuasa.
Ia akan meningkat kepada 99 peratus menjelang 2017.
Pengeksport Malaysia akan menikmati kemasukan bebas cukai ke pasaran Australia.
Senator George Brandis berkata rundingan mengenainya bermula pada 2005 lagi apabila kerajaan bekas Perdana Menteri John Howard melancarkannya.
Brandis berkata Malaysia merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Australia dalam Asean dan rakan ke-10 terbesar keseluruhan dengan eksport yang sebanyak A$5 bilion dan import A$9.1 bilion pada 2011-2012.
"Industri Australia bakal mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan baru ini dengan Malaysia, termasuk industri tenusu Australia," kata kepada Senat.
Brandis berkata industri lain Australia bersedia untuk mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan itu termasuk sektor automotif tempatan, wain, pertanian termasuk gula, gandum dan beras, plastik, makanan diproses, kimia dan pelbagai barang pembuatan.
Senat meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Kastam (Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia dan Langkah-langkah Lain) 2012 dan Rang Undang-undang Tarif Kastam Pindaan (Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia) 2012.
#Australia #bebas cukai #Malaysia #Senat
;