Semua kementerian kumpul data prestasi Ekonomi MADANI - Fahmi

Bernama
Ogos 10, 2024 08:33 MYT
Fahmi menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran dan pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Semua kementerian akan mengumpulkan data prestasi atau pencapaian selari kerangka Ekonomi MADANI yang telah dilancarkan pada Julai tahun lepas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata data berkenaan dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada minggu depan.
"Hasil lebih kurang setahun ini, Insya-Allah akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan (data prestasi atau pencapaian) bagi makluman kepada semua dan sebagai rakyat biasa kita mampu lihat bahawa usaha (Kerajaan Perpaduan) selama lebih setahun ini membuahkan hasil.
"Pelaburan telah meningkat berbanding tahun lalu. Laporan menunjukkan jumlah syarikat yang disenaraikan Malaysia bagi setengah tahun pertama ini, jauh lebih tinggi berbanding beberapa negara Asia Tenggara. Kita lihat nilai mata wang ringgit telah mengukuh, setakat semalam Ringgit berbanding dolar AS pada paras 4.415 dan kita juga tahu inflasi kekal rendah," katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.
Pada 27 Julai 2023, Perdana Menteri melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi baharu Malaysia yang bertujuan mengangkat semula darjat dan martabat negara.
Ia juga bagi menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan negara ini sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu.
Ditanya sama ada pembatalan rancangan pembuat kenderaan elektrik (EV) Tesla membuka kilang di Malaysia akan memberi kesan kepada perkhidmatan satelit Starlink yang dikendalikan SpaceX, Fahmi berkata ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan itu sebaliknya Starlink masih beroperasi seperti biasa.
Sebelum ini dilaporkan, Tesla membatalkan rancangan untuk membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia dan syarikat itu dijangka hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.
-- BERNAMA
#ekonomi madani #Fahmi Fadzil #kumpul data #Anwar Ibrahim