Semakan cukai terkini oleh India menjadikan minyak sawit lebih kompetitif

Bernama
Januari 2, 2020 13:22 MYT
Pada masa ini, import minyak bertapis di India menyumbang 18.5 peratus daripada penggunaan dan dijangka menyaksikan peningkatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. - Gambar fail
Semakan semula cukai oleh New Delhi kini menjadikan minyak sawit lebih kompetitif kepada minyak makan alternatif seperti minyak bunga matahari dan minyak kacang soya, yang mempunyai tebaran paling kecil dalam tempoh 10 tahun, akan meningkatkan eksport minyak kelapa sawit ke India dalam beberapa bulan akan datang, kata Public Investment Bank.
Berdasarkan perjanjian dua hala, Kementerian Kewangan India mengurangkan duti import ke atas minyak sawit mentah (MSM) dan minyak sawit bertapis dari negara Asia Tenggara berkuat kuasa semalam. Duti ke atas MSM diturunkan kepada 37.5 peratus daripada 40 peratus manakala cukai ke atas minyak sawit ditapis diturunkan kepada 45 peratus daripada 50 peratus sebelum ini.
Perbezaan kecil duti antara MSM dan minyak sawit bertapis kepada 7.5 peratus daripada 10 peratus berkemungkinan menyaksikan pembeli India mengubah permintaan masing-masing daripada MSM kepada minyak sawit bertapis atau minyak sawt olein," katanya.
Pada masa ini, import minyak bertapis di India menyumbang 18.5 peratus daripada penggunaan dan dijangka menyaksikan peningkatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
"Disokong oleh perbezaan duti antara MSM dan produk minyak sawit bertapis susulan pemulihan semula duti eksport di Malaysia, selain semakan semula cukai oleh India, syarikat penapisan minyak sawit Malaysia dijangka menikmati margin yang lebih baik berbanding rakannya," katanya.
BACA: Harga melonjak sehingga RM3,000 setan, pendapatan peneroka sawit bertambah
Penguasaan pasaran minyak sawit Malaysia di India juga dijangkakan melonjak dari paras semasa pada 49.8 peratus susulan tindakan itu.
"Langkah yang menggalakkan ini membantu menangani inventori minyak sawit Malaysia dan memberi sokongan kepada harga MSM yang kukuh sekarang," kata bank itu, yang mengekalkan unjuran menaik ke atas sektor perladangan dengan andaian harga MSM sebanyak RM2,600 setan tahun ini.
Sementara itu, Kenanga dalam nota penyelidikannya bagi sektor perladangan berjudul "The Worst Over, Better Days Ahead" menaikkan sektor itu kepada 'berprestasi tinggi' dengan harga sasaran yang lebih tinggi sebanyak RM2,700 setan pada 2020.
"Kami percaya tempoh terburuk untuk sektor itu sudah berakhir dengan dinamik penawaran-permintaan ke atas MSM berpihak kepada kenaikan harga disebabkan oleh bekalan yang kurang serta permintaan yang semakin meningkat, dengan penanam dijangka mencatatkan peningkatan pendapatan yang ketara hasil peningkatan harga MSM," katanya.
Selain permintaan dari India selepas pengurangan cukai itu, impak cuaca kering ke atas pengeluaran MSM dengan jurang lazimnya antara enam bulan dan 12 bulan, sudah pun bermula.
"Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kami mula melihat penurunan dua angka MSM pada November (-14.4 peratus bulan ke bulan), manakala menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA ), pengeluaran MSM dari 1 hingga 20 Dis 2019 merosot 16.4 peratus bulan ke bulan, lebih tinggi daripada jangkaan kami sebanyak lapan peratus bulan ke bulan," katanya.
Di samping penggunaan baja yang lebih rendah dan kelembapan aktiviti penanaman baharu bagi mengurus kos ketika harga MSM tertekan pada 2018 hingga pertengahan 2019, Kenanga menjangkakan penurunan pengeluaran akan berterusan ke tahun 2020.
"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan permintaan akan mengatasi bekalan pada suku pertama 2020, yang mengakibatkan penurunan stok, dan mengekalkan harga MSM," katanya.
Ia berkata mandat biodiesel di Indonesia dan Malaysia juga akan menyokong komoditi itu.
"Ini dapat menyakinkan kami bahawa permintaan ke atas minyak sawit akan terus kukuh, dan ekoran pengeluarannya yang semakin perlahan, ia menjurus kepada situasi pertumbuhan permintaan mengatasi pertumbuhan bekalan," katanya.
-- BERNAMA
#cukai #India #Indonesia #kelapa sawit #Kementerian Kewangan #Malaysia #minyak #minyak sawit #New Delhi
;