Selesaikan segera kemelut FGV - Johari Ghani

Bernama
Jun 7, 2017 22:28 MYT
JOHARI: Apa jua keputusan yang dibuat perlulah memastikan tiada pihak yang teraniaya.
Pergolakan yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) perlu diselesaikan segera kerana ia dikhuatiri boleh menggugat kepercayaan pelabur dari dalam dan luar negara terhadap agensi perladangan bersepadu itu, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata perkara itu perlu dipandang serius dan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana Felda merupakan syarikat besar dalam aktiviti perladangan negara.
"FGV adalah syarikat yang disenaraikan di bursa dan mencakupi pelaburan pelbagai pihak. Sentimen pelbagai pelabur ini akan terhakis jika kemelut ini dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh dan sistematik, sekali gus menyebabkan saham FGV merudum saban hari," katanya kepada pemberita pada Program Nur Ramadan 2017 Peringkat Titiwangsa di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas pergolakan dalaman FGV sehingga empat pegawai kanannya diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta.
Semalam, Pengerusi FGV Tan Sri Isa Samad mengeluarkan arahan bercuti itu kepada empat pegawai kanan berkenaan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan untuk menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
Mereka yang diarah bercuti adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar.
Johari berkata apa jua keputusan yang dibuat perlulah memastikan tiada pihak yang teraniaya atau silap dalam membuat keputusan kerana ia boleh menjejaskan reputasi syarikat terbabit.
Terdahulu, beliau merasmikan program Nur Ramadan dan menyerahkan sumbangan kepada 500 golongan asnaf dari kawasan Titiwangsa.
-- BERNAMA
#ekonomi #Felda #FGV #JOHARI ABDUL GHANI #pelaburan #perladangan
;