Selepas Najib, Khairuddin pula gesa kerajaan selamatkan Sapura Energy
Astro Awani
Mac 29, 2022 22:33 MYT
Mac 29, 2022 22:33 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Pas, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Bhd(SEB) yang sedang menghadapi masalah kewangan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menjelaskan SEB merupakan perniagaan strategik negara yang mempunyai 4,000 vendor utama selain ia adalah syarikat yang dimiliki dana rakyat.
Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, usaha menyelamatkan syarikat itu perlu dilakukan kerana SEB mempunyai ramai kakitangan Melayu Islam.
“Syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan berikutan paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi seterusnya kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit.
“SEB merupakan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia dengan pemegang saham utamnya ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 40 peratus, Sapura Holdings Sdn Bhd (14 peratus) dan selebihnya milikan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Khairuddin yang merupakan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menambah, vendor-vendor ini berhadapan risiko gulung tikar jika tidak mendapat bayaran yang patut diterima daripada SEB.
Beliau dalam masa sama memberikan syor bagi membantu SEB, antaranya adalah dengan memberikan syarikat itu peluang di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin.
“Hal ini kerana sebagai syarikat berdaya maju dan strategik negara dalam industri minyak dan gas, SEB wajar dipertahankan sebelum ‘dirampas’ oleh pihak-pihak rakus yang mungkin akan menjejaskan vendor dan pembekal Bumiputera khususnya.
“Petronas perlu memainkan peranannya untuk tujuan pengambilalihan selaras dengan hasratnya memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sehingga RM50 bilion pada tahun ini berbanding RM30.5 bilion pada tahun kewangan 2021. Syarikat minyak negara itu juga mencatatkan keuntungan sejak 2018,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) iaitu anak syarikat MISC Berhad yang memiliki sinergi sama dalam industri minyak dan gas mengambil alih SEB.
Mohd Khairuddin turut mengesyorkan agar PNB menswastakan SEB sementara harga penilaian sangat rendah sebelum melangsaikan hutang-hutang syarikat itu kepada vendor-vendor yang bernilai RM4 bilion diperluaskan.
“Ia memerlukan sehingga RM7 bilion untuk mengambil langkah ini.
“Sebagai aset strategik kepada PNB, instrumen pelaburan untuk membantu rakyat itu boleh meneruskan peranannya dengan lebih baik iaitu menyuntik lebih banyak dana demi untuk menyelamatkan SEB selain mencari pelabur-pelabur strategik baharu selaras dengan misinya iaitu meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, demi kemakmuran negara,” jelasnya.
Sebelum ini gesaan agar kerajaan membantu SEB menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara turut disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.