Selangor sambut baik, sedia mudah cara kemasukan Tesla - Amirudin

Astro Awani
Julai 14, 2023 16:04 MYT
Amirudin berkata, kerajaan Negeri Selangor bersedia memudahcara kemasukan Tesla Inc yang akan membuka Ibu Pejabat, Pusat Servis, dan Pusat Pengalaman di negeri itu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kehadiran Tesla Inc. di Selangor bakal menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa dalam bidang teknologi bateri untuk melabur di Selangor, serta meningkatkan keinginan generasi muda untuk mendalami bidang teknologi tinggi khususnya dalam industri tenaga bersih.
Justeru, kerajaan Negeri Selangor menyambut baik dan bersedia memudah cara kemasukan syarikat kenderaan elektrik tersebut yang akan membuka Ibu Pejabat, Pusat Servis, dan Pusat Pengalaman di negeri itu pada tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara lokasi yang telah dikenal pasti sebagai tapak adalah di Daerah Petaling dan Daerah Sepang.
"Pejabat Daerah serta pihak berkuasa berkait pula sudah bersedia untuk menyelaraskan proses kemasukan pelaburan berkenaan.
"Pelaburan ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas, dan van.
"Perkembangan ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri fasiliti 5G paling cekap di Asia Tenggara sebagai bagi menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara, seterusnya menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada warga Selangor khususnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan secara maya dengan usahawan aeroangkasa terkemuka dunia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX dan Tesla Inc, Elon Musk pada Jumaat.
Dalam persidangan video tersebut, PM Anwar mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat itu di negara ini dan juga kesediaan usahawan tersebut untuk datang ke Malaysia.
#Tesla #Amirudin Shari #Selangor #Elon Musk #Anwar Ibrahim
;