Selangor perlu manfaatkan pemboleh daya dasar kerajaan untuk capai RM500 bilion KDNK
Israr Khalid
Julai 25, 2024 19:11 MYT
Julai 25, 2024 19:11 MYT
KUALA LUMPUR: Selangor perlu memanfaatkan dorongan dan pemboleh daya dasar kerajaan bagi membolehkan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM500 bilion dapat dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun sepertimana yang ditetapkan negeri itu.
Dengan itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Selangor dapat mengangkat kedudukan ASEAN sebagai destinasi kegemaran untuk pelaburan terutamanya dalam bidang pembuatan.
Memetik beberapa dorongan dan pemboleh daya dasar kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang dilancarkan baru-baru ini, jelasnya, ia dapat membantu Selangor membangunkan industri pembuatan yang lestari.
“Untuk semua ini, pelaksanaan adalah penting. Ini sebabnya MITI dengan konsisten menumpukan kepada memastikan pelaburan yang diluluskan dijejak dan direalisasikan.
“Saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedang menjejak perkembangan projek-projek di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Dengan koordinasi dan kolaborasi rapat antara MITI, Invest Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), saya yakin kita dapat menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor, merealisasikannya secepat mungkin dan mungkin pada kadar realisasi yang lebih tinggi daripada kadar nasional," ujar Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pembukaan Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.
Tambah Tengku Zafrul lagi, bersempena kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun depan, ia adalah peluang yang sangat penting untuk menyelaraskan hala tuju ASEAN dengan dasar-dasar ekonomi nasional dan negeri.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapan pembukaannya berkata, Kerajaan Negeri telah menggandakan usahanya dalam kelestarian, pendekatan yang lebih bersasar dan menyelesaikan masalah dalam hal ehwal kebajikan, dan membina sistem kerajaan abad ke-12 yang dapat melaksanakan rancangan-rancangan yang dijanjikan kepada rakyat.
“Untuk meningkatkan kerjasama serantau, amatlah mustahak untuk kita mempertingkat kepercayaan dan komited untuk kolaborasi dalam ASEAN menerusi matlamat teknologi yang dikongsi bersama untuk meraih kelebihan di dalam ruang global.
“ASEAN tidak harus lagi menjadi rantau di mana pemain-pemain besar meletakkan hub pembuatan mereka untuk mengurangkan kos, tetapi sebagai pemimpin dalam inovasi dan mencipta teknologi kita sendiri untuk menyelesaikan cabaran-cabaran besar hari ini," kata beliau.
Untuk SIBS 2024, beliau menyasarkan RM7 bilion nilai urus niaga sepanjang dua siri penganjurannya, meningkat daripada RM6.12 bilion yang dicapai pada penganjuran tahun lepas.
KDNK Selangor bertumbuh pada 5.4 peratus pada 2023, melepasi pertumbuhan KDNK negara pada 3.6 peratus, sementara pelaburan Selangor yang diluluskan pada suku pertama 2024 bernilai RM12.4 bilion, menjadikannya satu daripada penyumbang pelaburan terbesar kepada nilai pelaburan suku pertama Malaysia.
Siri pertama SIBS 2024 pada 25 hingga 27 Julai ini membuka tirainya dengan SABC 2024 dan Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK) 2024, memberi tumpuan khusus kepada sektor pelaburan.
SABC tahun ini menampilkan 20 pembicara dari 10 negara rantau ini juga Timor-Leste dan Kesatuan Eropah (EU), serta menjemput 200 perwakilan antarabangsa dari 23 negara.
Bertemakan Selangor, Gerbang ke ASEAN, SPARK bermatlamat mengetengahkan keupayaan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan di rantau Asia Tenggara di samping menyediakan acara sehenti untuk mempamerkan potensi lokasi pelaburan di Malaysia serta di Asia Tenggara.
Siri kedua SIBS 2024 pula akan berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober, menampilkan Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor, Persidangan Sains Hayat Selangor (SLC), dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital (SDEC).