Selangor, Maybank Islamic tawar skim sewa untuk beli

Bernama
November 26, 2018 21:12 MYT
Maybank Islamic bercadang untuk memperluaskan skim RTO, iaitu program HouzKEY Maybank Islamic, kepada rumah dalam lingkungan harga mampu milik. - BERNAMA/Fail
Kerajaan Negeri Selangor dan Maybank Islamic Bhd, akan menawarkan skim pemilikan rumah Sewa untuk Beli (RTO) kepada golongan berpendapatan rendah melalui program 'Sewa Milik Selangorku' pada suku pertama 2019.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mengakui indeks kemampuan perumahan bukan sahaja diukur melalui pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, tetapi juga keupayaan isi rumah membuat bayaran pendahuluan.
"Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kerajaan negeri dan institusi kewangan. Kami berharap program Sewa Milik Selangorku ini akan menjadi penyelesaian yang mampan untuk membantu rakyat memiliki rumah," katanya dalam kenyataan bersama hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata bank tersebut bercadang untuk memperluaskan skim RTO, iaitu program HouzKEY Maybank Islamic, kepada rumah dalam lingkungan harga mampu milik.
"Penyelesaian RTO yang ditawarkan adalah sebahagian daripada inisiatif pengantaraan berasaskan nilai, iaitu memberikan penyelesaian yang berdaya maju dan mampan untuk memiliki rumah serta cara bank untuk menyokong agenda nasional Malaysia dalam pemilikan rumah.
"Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama untuk memiliki hartanah bernilai tidak melebihi RM250,000," katanya.
Pelanggan boleh melayari maybank2own.com dan pihak bank akan menghubungi mereka jika terdapat hartanah tersebut.
Hanya pembeli rumah kali pertama yang lahir atau menetap di Selangor melebihi lima tahun atau pengundi berdaftar di Selangor yang layak menyertai program tersebut.
Penyelesaian RTO dibangunkan berasaskan konsep Ijarah iaitu skim patuh syariah yang menawarkan 10 tahun kadar sewa bulanan yang tetap kepada pelanggan. -- Bernama
#beli rumah #Kerajaan Selangor #maybank islamic #pendapatan rendah #RTO #rumah mampu milik #Sewa untuk Beli #skim rumah
;