Selamat tinggal Control Panel, semua tetapan sistem Windows akan ke Settings

Amanz
Ogos 23, 2024 12:20 MYT
Akhirnya, selepas bertahun lamanya, Microsoft telah memutuskan untuk menamatkan sokongan untuk Control Panel. -Amanz
SEJAK kali pertama saya menggunakan komputer Windows, seingat saya adalah Windows XP – semua tetapan sistem perlu dilakukan melalui Control Panel atau panel kawalan.
Sehingga hari ini, walaupun sejak Windows 8 sudah ada aplikasi Settings – Control Panel masih digunakan.
Akhirnya, selepas bertahun lamanya, Microsoft telah memutuskan untuk menamatkan sokongan untuk Control Panel.
Dalam laman khidmat bantuan pelanggan Microsoft, artikel System configuration tools in Windows telah dikemas kini dengan nasib baharu Control Panel.
Microsoft kini sedang melakukan pemindahan semua tetapan sistem ke dalam aplikasi Settings untuk penggunaan yang lebih moden serta Settings akan menjadi hab setempat untuk semua kawalan sistem Windows.
Buat masa ini, Control Panel masih disertakan kerana ada banyak lagi ciri dan fungsi masih belum dipindahkan ke Settings.
Pada masa yang sama, Microsoft menggalakkan pengguna untuk cuba menggunakan Settings sepenuhnya agar nanti lebih mudah membiasakan diri menggunakan komputer Windows tanpa Control Panel.
Selamat tinggal Control Panel. -Amanz
#Microsoft #Windows XP #Control Panel #settings
;