Sektor sarung tangan diunjur terus catat kerugian kesan saingan sengit pasaran
Dagang News
Julai 10, 2023 11:30 MYT
Julai 10, 2023 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan sektor sarung tangan terus mencatat kerugian kesan daripada persaingan pasaran sengit serta ketidakseimbangan permintaan-bekalan.
Firma itu berkata, kos input akan berkurangan namun dijangka tidak memberi faedah besar kepada pengeluar sarung tangan kerana melihat penjimatan untuk dikongsi dengan pembeli bagi mempertahankan bahagian pasaran dalam persekitaran yang mencabar.
“Secara keseluruhan, kami percaya bahawa pengeluar sarung tangan tidak akan mencapai keuntungan dalam masa terdekat.
"Kami mengunjurkan bahawa keseimbangan permintaan-penawaran mungkin hanya akan dicapai dalam separuh kedua 2024 atau pada 2025
"Oleh itu, kami mengekalkan penarafan 'underweight' untuk sektor itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, memasuki separuh 2023, harga getah asli dijangka berkurangan manakala harga nitril butadiena akan kekal tertekan akibat lebihan bekalan.
Katanya, ketiga-tiga pembuat sarung tangan di bawah liputan mereka telah melaksanakan langkah rasionalisasi kapasiti seperti penutupan kilang dalam usaha untuk mengurangkan bekalan pasaran.
“Top Glove Corp Berhad telah menghentikan operasi dua loji dengan kapasiti gabungan lima bilion keping setahun dan juga menggantung sementara operasi di 16 loji lagi dengan 35 bilion keping setahun.
“Ia akan mengurangkan kapasiti keseluruhan mereka sebanyak 40% kepada 60 bilion keping setahun pada masa ini," katanya.
Firma itu berkata, Hartalega Holdings Berhad juga akan menutup kilang Bestari Jaya (13 bilion keping setahun), dengan berkesan mengurangkan kapasiti pemasangannya sebanyak 30% kepada 31 bilion keping setahun.
“Bagi Kossan Rubber Industries Berhad, ia telah menutup dua kilang dengan kapasiti kumulatif tiga bilion keping setahun pada 2022, dan merancang untuk mengeluarkan enam bilion kapasiti daripada sistemnya pada 2023.
“Kami menjangkakan kapasiti Kossan akan dikurangkan kepada 24.5 bilion keping setahun, daripada 33.5 bilion keping setahun sebelum ini.
"Di luar sekadar mengurangkan kos tetap, keputusan pembuat sarung tangan untuk menyahtauliah kilang pembuatan juga menunjukkan jangkaan mereka untuk pemulihan permintaan yang berpanjangan,” katanya.- DagangNews.com