Sektor perindustrian Malaysia dijangka kekal tumbuh pada separuh kedua 2024
Bernama
Oktober 14, 2024 22:33 MYT
Oktober 14, 2024 22:33 MYT
KUALA LUMPUR: Sektor perindustrian Malaysia dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan pada separuh kedua 2024, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan beransur-ansur dalam pasaran global, kata Public Investment Bank Bhd (PIVB).
Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPI) pula berkembang sebanyak 4.1 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos, menyederhana daripada 5.3 peratus pada Julai, menandakan pertumbuhan untuk bulan kelapan berturut-turut.
Dalam satu kenyataan hari ini, PIVB berkata pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan sebanyak 6.5 peratus dari tahun ke tahun dalam sektor pembuatan dan kenaikan sebanyak 4.1 peratus dari tahun ke tahun dalam pengeluaran elektrik manakala sektor perlombongan menguncup sebanyak 6.4 peratus dari tahun ke tahun.
Memetik data daripada Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS), bank pelaburan itu turut menekankan pasaran semikonduktor global diunjur berkembang sebanyak 16 peratus dari tahun ke tahun pada 2024 dengan peningkatan 12.5 peratus lagi dijangka pada 2025.
Bank itu berkata ramalan optimis ini memberikan prospek yang menggalakkan untuk Malaysia apabila sektor elektronik dan elektrik yang menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah eksport, kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama.
"Jangkaan kenaikan dalam eksport elektronik, disokong oleh kesan asas yang menggalakkan, berkemungkinan mengurangkan beberapa kesan buruk terhadap prospek perdagangan Malaysia.
"Kami mengunjurkan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus dari tahun ke tahun pada 2024, disokong oleh pemulihan dalam permintaan global dan sektor elektronik yang kukuh," katanya.
Sementara itu, menurut kemas kini Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Oktober, perdagangan barangan global melantun semula dengan peningkatan sebanyak 2.3 peratus dari tahun ke tahun pada separuh pertama 2024.
"Peningkatan ini berikutan penguncupan berlaku pada 2023, didorong oleh inflasi yang tinggi dan kenaikan kadar faedah. Jumlah dagangan diunjurkan berkembang sebanyak 2.7 peratus dari tahun ke tahun pada 2024 dan sebanyak tiga peratus dari tahun ke tahun pada 2025, selaras dengan ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar global sebanyak 2.7 peratus bagi kedua-dua tahun pada kadar pertukaran pasaran.
"Penurunan tekanan inflasi mendorong bank pusat dalam negara ekonomi maju untuk memulakan pengurangan kadar faedah yang dijangka meningkatkan penggunaan, merangsang pelaburan dan menyokong pemulihan beransur-ansur dalam perdagangan global," katanya.
-- BERNAMA