Sektor perbankan kekal menarik, OPR dijangka stabil pada 3 peratus - Kenanga

Bernama
September 4, 2024 15:25 MYT
Kenanga menjangkakan bahawa OPR akan kekal stabil pada 3.00 peratus sepanjang 2024 dan 2025. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) menjangkakan pelabur akan terus memberi tumpuan kepada sektor perbankan yang kekal menarik dalam persekitaran keadaan ekonomi bertambah baik.

Ringkasan AI
  • Fokus Pelabur pada Sektor Perbankan: Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan sektor perbankan akan terus menarik minat pelabur dalam keadaan ekonomi yang semakin baik.
  • Pemberian Pinjaman Berlebihan: Walaupun sektor ini kukuh dalam jangka pendek, Kenanga berhati-hati terhadap risiko daripada pemberian pinjaman berlebihan, terutama untuk projek besar.
  • OPR Dijangka Kekal Stabil: Kenanga menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kekal stabil pada 3.00 peratus sepanjang 2024 dan 2025, dengan bank masih mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi yang menyokong.

Bagaimanapun, bagi perspektif jangka panjang, bank pelaburan itu berpendapat bahawa pasaran telah melihat pelaburan yang ketara dalam saham pertumbuhan tinggi, mungkin didorong oleh pelabur asing yang memanfaatkan pengukuhan ringgit.
"Walaupun momentum mungkin kekal dalam jangka pendek, kami berhati-hati mengenai potensi pemberian pinjaman berlebihan untuk memenuhi permintaan pasaran yang boleh mendedahkan bank kepada risiko lebih tinggi terutamanya daripada beberapa projek besar," katanya menerusi nota penyelidikan mengenai kemas kini sektor, hari ini.
Bagi suku kedua musim pendapatan 2024, Kenanga mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor perbankan dengan kesemua sepuluh bank melaporkan pendapatan seiring dengan jangkaan.
Ia berkata asas jangka pendek bagi sektor itu kekal kukuh, disokong oleh permintaan domestik kukuh dan pembangunan ekonomi.
Tekanan margin faedah bersih semakin berkurangan apabila kos pendanaan menjadi menyederhana dan risiko kualiti aset semakin berkurangan.
Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Bank Negara Malaysia dijangka kekal tidak terjejas daripada penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang masih belum diputuskan.
Justeru, Kenanga berkata bahawa bank mempunyai skop terhad untuk mengurangkan kos pembiayaan dengan ketara.
Hasilnya, Kenanga menjangkakan bahawa OPR akan kekal stabil pada 3.00 peratus sepanjang 2024 dan 2025.
"Bank masih mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi yang menyokong seperti projek infrastruktur dan pelaburan strategik iaitu pusat data yang beroperasi di Malaysia, ia membawa kepada peningkatan keperluan pembiayaan.
"Pasaran dagangan yang lebih aktif juga harus menyumbang kepada pendapatan bukan faedah berasaskan fi yang lebih baik, mengekalkan pulangan terhadap ekuiti dalam tempoh terdekat," katanya.
-- BERNAMA
#kadar OPR #ekonomi malaysia #Kenanga Investment Bank #Bank Negara Malaysia
;