Sektor penjagaan kesihatan dijangka pulih dengan kukuh - HLIB
Dagang News
Januari 6, 2022 13:09 MYT
Januari 6, 2022 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Sektor penjagaan kesihatan dijangka melantun semula berbanding sektor ekonomi lain berikutan daya tahannya yang kukuh, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Ini membolehkan firma itu mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor tersebut didorong pemulihan ekonomi yang lebih mampan, kadar vaksinasi tinggi dan pelancaran dos penggalak.
Penganalisisnya, Sophie Chua Siu Li berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa turut menyaksikan kemasukan pelancong perubatan memandangkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelancongan perubatan.
"Kami percaya ini memberi kelebihan kepada IHH Healthcare Bhd. dan KPJ Healthcare Bhd. sebaik sahaja sempadan Malaysia dibuka semula.
"Seperti mana IHH Singapura menyaksikan kemasukan tempahan perubatan apabila laluan perjalanan vaksinasi penuh (VTL) Singapura-Indonesia dibuka, kami juga menjangkakan hospital di Malaysia akan mengalami pemulihan yang kukuh menerusi pesakit asing ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Beliau juga menjangkakan jumlah pesakit dalaman untuk KPJ dan IHH akan terus pulih berikutan kelonggan sekatan pergerakan apabila melangkah ke separuh pertama 2022.
Katanya, bagi setiap sekatan pergerakan yang dilonggarkan, operator hospital akan menyaksikan peningkatan jumlah pesakit terutama yang memerlukan rawatan perubahan bagi prosedur elektif yang tertangguh.
"Tetapi, pemulihan kali ini adalah lebih mampan, memandangkan kadar vaksinasi yang tinggi di Malaysia," tambahnya.
Dalam Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang lebih besar sebanyak RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan (MOH) manakala RM4 bilion bagi memerangi wabak COVID-19.
Menurut beliau, peningkatan perbelanjaan ini akan menguntungkan Pharmaniaga Bhd. dari segi pembelian lebih banyak ubat-ubatan manakala UEM Edgenta Bhd. pula membabitkan perolehan bagi peralatan bioperubatan dan penyelenggaraan.
Secara keseluruhan, HLIB meletakkan IHH sebagai saham pilihan utama sektor penjagaan kesihatan dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM7.51 sesaham.
Firma itu juga memberi saranan 'beli' kepada KPJ, UEM Edgenta dan Pharmaniaga dengan TP masing-masing pada RM1.32, RM2.23 dan 75 sen.
Artikel asal di DagangNews.com