Sektor pelancongan domestik pantas catat pemulihan
Muhafandi Muhamad
Mei 29, 2022 08:30 MYT
Mei 29, 2022 08:30 MYT
JELI: Pelancongan domestik antara sektor yang mempamerkan pemulihan pantas selepas lebih dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi pelancongan antarabangsa, pemulihan sedang berjalan dengan pembukaan sempadan Malaysia-Thailand, Malaysia-Singapura pada 1 April lepas.
Mustapa berkata, senario itu adalah berdasarkan tempahan tiket penerbangan antarabangsa yang semakin meningkat.
"Promosi sudah diadakan dalam negara luar negara pun Menteri Pelancongan akan lebih agresif.
"Kita hilang dua tahun kerana COVID-19 maka banyak kerja yang perlu dilakukan untuk dapat balik apa yang kita hilang," katanya.
Katanya dalam usaha pemulihan itu juga, kekurangan tenaga kerja asing dalam sektor pelancongan antara yang dibangkitkan.
Dianggarkan 40,000 tenaga kerja asing diperlukan dalam merancakkan semula sektor pelancongan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Mustapa berkata latihan kemahiran perlu diberikan kepada rakyat tempatan supaya mereka dapat mengisi kekosongan itu sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing.
Ppelancong asing khususnya dari Singapura menyatakan minat mereka untuk meneroka eko pelancongan negara.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kebenaran merentas Malaysia-Thailand dengan kenderaan pada 1 Jun depan turut berupaya merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri yang bersempadan dengan negara jiran seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Johor.
Mustapa ditemui pemberita selepas meninjau kawasan pelancongan di Jeli pada Sabtu.