Sektor hartanah 'bersinar' pada 2023 di Bursa Malaysia - HLIB

Bernama
Januari 4, 2024 04:15 MYT
HLIB mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor hartanah selepas diturunkan daripada 'overweight' pada Disember 2023.- Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Sektor hartanah menyerlah pada 2023, susulan pencapaiannya sebagai sektor berprestasi kedua terbaik di Bursa Malaysia dengan Indeks Hartanah Kuala Lumpur (KLPRP) mencatatkan pulangan memberangsangkan sebanyak 34.5 peratus berbanding kerugian Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 2.7 peratus.
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam satu nota semalam, sektor hartanah mencatat prestasi yang lebih baik pada 2023.
Ia berkata sektor itu menyaksikan peningkatan tiga kali ganda, dengan pendapatan kukuh daripada pengebilan yang dipercepatkan, jualan yang lebih tinggi berikutan lebih banyak produk baharu di pasaran utama dan lebih banyak pelancaran memandangkan situasi bekalan yang semakin pulih.
Namun begitu, bank pelaburan itu berkata bahawa ketiga-tiga faktor ini tidak menggambarkan perubahan asas dalam dinamik permintaan asas.
Justeru, ia mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor itu selepas diturunkan daripada 'overweight' pada Disember 2023.
"Saham seperti Sunway Bhd (Sunway), OSK Holdings Bhd (OSK) dan Matrix Concepts Holdings Bhd mencapai harga saham tertinggi sepanjang masa mereka pada 2023.
"Walaupun diberikan penarafan 'neutral' pada sektor ini, kami bagaimanapun mengenal pasti beberapa syarikat yang berpotensi untuk 'outperform' dan pilihan utama kami ialah Sunway, OSK, Sime Darby Property Bhd dan IOI Properties Group Bhd," katanya.
Sementara itu, HLIB berkata ia menjangkakan pertumbuhan sederhana sektor itu pada 2024, dan faktor yang merangsang sektor itu pada 2023 dijangka berkurangan.
"Oleh itu, pemaju tidak mungkin meningkatkan pelancaran mereka dengan ketara pada 2024.
"Dengan jangkaan pertumbuhan sederhana dalam ekonomi dan pelancaran baharu, kami berpendapat jualan juga akan menyaksikan kadar pertumbuhan sederhana pada 2024," katanya.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Indeks Hartanah Kuala Lumpur #Hong Leong Investment Bank Bhd #sektor hartanah
;