Sektor e-dagang berpotensi lonjak dagangan Malaysia cecah RM2 trilion
Bernama
April 10, 2018 19:23 MYT
April 10, 2018 19:23 MYT
Sektor e-dagang berpotensi melonjakkan jumlah perdagangan Malaysia kepada RM2 trilion pada 2018 berbanding RM1.77 trilion tahun lepas, berikutan pelaksanaan pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata kerajaan berharap lebih banyak syarikat-syarikat Malaysia melaksanakan kaedah perdagangan baharu dan amalan perniagaan global berkenaan yang dapat membantu meningkatkan dagangan negara ini.
"Tahun lepas, jumlah perdagangan Malaysia mencatat RM1.77 trilion. Bagi tahun ini, sasaran kita sebanyak RM2 trilion dan saya berharap baki itu akan disumbangkan oleh sektor e-dagang tersebut," katanya dalam sesi taklimat media selepas melancarkan Platform Perkongsian E-Dagang Rentas Sempadan Malaysia-China (MCESP) di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Ong berkata China merupakan sebuah pasaran besar serta menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dengan menyumbang 28 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2017.
MCESP adalah kerjasama antara ICBC (M) Sdn Bhd, SF Global Express (M) Sdn Bhd, HomeDeal.my, Linghang International (M) Sdn Bhd dan Persatuan ePerniagaan Malaysia.
Platform perkongsian sumber dan pelbagai saluran dalam talian itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai kerjasama e-dagang dan pembangunan antara Malaysia dan China.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCESP, Michael Jan berkata produk berkaitan perlu melalui platform e-dagang tempatan di Malaysia, HomeDeal terlebih dahulu sebelum memasuki platform dalam talian ICBC Mall, Rong E Gou bagi mendapatkan akses ke pasaran China.
"PKS Malaysia memerlukan garis panduan lengkap untuk memanfaatkan pasaran China yang besar.
"Oleh itu, kami telah menghasilkan MCESP dengan memiliki struktur yang dapat memberi saluran lengkap untuk PKS tempatan dengan risiko dan kos yang minimum," katanya.
Beliau turut menyifatkan permintaan pasaran China itu menyediakan peluang besar bagi pembangunan e-dagang rentas sempadan.
Malah, data pemantauan Pusat Penyelidikan E-Dagang menunjukkan transaksi rentas sempadan China pada separuh pertama 2017 adalah berjumlah RMB3.6 trilion (RMB1=RM0.61) iaitu peningkatan sebanyak 30.7 peratus bagi tahun ke tahun.
Pada 2017, perolehan keseluruhan pasaran e-dagang mencecah AS$1 bilion (AS$1=RM3.87) dengan setiap pembeli dalam talian membelanjakan purata AS$74 seorang.
Menjelang 2021, perbelanjaan per kapita dijangka meningkat kepada AS$129 manakala jumlah hasil pasaran e-dagang diunjur mencecah AS$2.6 billion. -- Bernama