Sektor digital pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak - Mustapa

Rudi Affendi Khalik
Julai 18, 2020 15:48 MYT
Kata Mustapa situasi sempadan negara yang masih ditutup nyata memberi kekangan kepada perkembangan ekonomi negara. - Gambar fail/BERNAMA
Sektor ekonomi digital akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di negeri Sarawak kerana ia dilihat sebagai sektor penting bagi merancakkan lagi ekonomi di negeri itu terutama dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan negeri Sarawak mempunyai agenda yang agresif dan tersendiri yang membantu mempercepatkan pertumbuhan semula ekonominya.
“Sarawak mempunyai agenda yang sangat agresif, pendigitalan sememangnya komponen yang amat penting dan ia akan menjadi salah satu penggerak kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Selain daripada agenda di peringkat Persekutuan, Sarawak mempunyai agenda yang khusus dan tersendiri. Kita menjangkakan ini akan menjadi salah satu pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak,” kata Mustapa.
Mustapa berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan bersama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Komuniti Perniagaan di Hotel Pullman pada Sabtu.
Tambahnya, sektor pertanian turut diberi perhatian lebih melihat kepada potensi perdagangan dengan negara sempadan Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Sektor pertanian juga akan menjadi satu sektor yang akan diberi perhatian yang lebih. Sebentar tadi ada perbincangan berkaitan perdagangan sempadan dan perkembangan di sekitar sempadan kita di Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Selain itu ada juga dibincang mengenai potensi apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur dan ini pasti memberikan impak yang cukup besar,” ujarnya lagi.
Namun tambahnya sempadan negara yang masih ditutup nyata memberi kekangan kepada perkembangan ekonomi negara.
Bagaimanapun ia dilihat sebagai langkah yang wajar bagi mengelak penularan gelombang kedua pandemik COVID-19.
#Brunei Darussalam #COVID-19 #Datuk Seri Mustapa Mohamed #ekonomi digital #Indonesia #perintah kawalan pergerakan #Persekutuan #PKP #Sarawak
;