Sektor automotif dijangka mengukuh dalam tempoh terdekat ini - Firma penyelidikan
Bernama
September 23, 2021 14:04 MYT
September 23, 2021 14:04 MYT
KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan permintaan automotif akan meningkat dalam tempoh terdekat ini, didorong oleh pegecualian cukai hingga akhir tahun selain pembukaan semula bilik pameran di seluruh negara.
Pengeluaran kenderaan telah dibenarkan beroperasi semula sejak pertengahan Ogos, walaupun kapasiti operasi tertakluk kepada peratusan pekerja yang mendapat vaksin lengkap.
"Kami juga menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) pulih sebanyak dua digit pada 2022, dengan mengandaikan tiada lagi gangguan, katanya dalam catatan penyelidikan hari ini.
Katanya TIV untuk tahun kewangan 2021 telah disemak menurun kepada 509,951 unit daripada 550,000 unit sebelumnya - penguncupan 3.7 peratus tahun ke tahun. Ini berikutan semakan menurun sepanjang musim keputusan baru-baru ini ini untuk mengambil kira faktor kekurangan pengeluaran yang disebabkan langkah kawalan pergerakan selama 2.5 bulan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata tempahan kenderaan kekal menggalakkan kerana pemain industri ini telah menerima tempahan terkumpul dua hinggga empat bulan sebelum kawalan pergerakan dilaksanakan.
Dengan demikian, MIDF Research telah mengekalkan saranan 'positif' untuk sektor automotif kerana permintaan masih utuh pada masa ini, disokong oleh tempahan terkumpul yang memberangsangkan.
-- BERNAMA