Sekatan sawit tidak jejas harga minyak sawit mentah

Najib Aroff
Disember 31, 2020 13:37 MYT
Minyak Sawit Mentah (MSM) masih lagi dalam keadaan bekalan yang sedikit berdasarkan angka dari MPOB - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Sekatan produk sawit oleh Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) dijangka tidak menjejaskan industri sawit negara.
Menurut pedagang minyak sawit David Ng ini kerana permintaan dari China dan India kekal utuh sekaligus menyokong harga minyak mentah sawit (MSM) yang tinggi.
David bagaimanapun mengakui sekatan berkenaan memberikan kesan namun tidak seteruk yang disangka.
"Bergerak ke hadapan, akan ada lagi isu seperti ini. Ia bergantung kepada bagaimana syarikat terlibat menyelesaikan kegusaran ini.
"Dari perspektif permintaan menuju ke tahun 2021, kita masih saksikan China dan India menjadi pembeli terbesar. Kegusaran mereka tentang alam sekitar dan buruh adalah sedikit rendah.
"Permintaan tidak akan ada kesan setakat ini dan akan terus kukuh. Saya rasa sekatan oleh pihak berkuasa AS ini akan ada kesan sedikit namun saya tidak rasa ia mengubah gambaran asas industri secara keseluruhan.
"Minyak Sawit Mentah (MSM) masih lagi dalam keadaan bekalan yang sedikit berdasarkan angka dari MPOB.
"Kita saksikan angka pengeluaran dan stok yang rendah. Dua perkara ini akan jadi faktor penyokong harga yang tinggi untuk 2021," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
David berkata pengeluar minyak sawit Malaysia akan segera mencari pasaran baharu untuk mengimbangi kerugian akibat sekatan oleh CBP.
Dari segi harga MSM, David menjangkakan ia akan terus kukuh berlegar sekitar RM3,600 setan selagi mana kadar pengeluaran tidak meningkat.
#AS #China #India #Amerika Syarikat #sawit #minyak sawit mentah #Sime Darby Plantation Bhd #CBP #CBP haramkan minyak sawit
;