Segmen runcit Aeon mungkin terus berdepan cabaran berikutan sentimen pengguna lemah
Dagang News
November 27, 2023 13:30 MYT
November 27, 2023 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata segmen runcit Aeon Co (M) Bhd mungkin terus menghadapi cabaran berikutan sentimen pengguna yang lemah.
Pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), pendapatan kumpulan susut 3% tahun ke tahun (YoY) disebabkan sumbangan segmen runcit yang lebih rendah 4% YoY kerana kedai tertentu ditutup untuk pengubahsuaian pada suku tersebut.
“Namun, sebahagian kelemahan runcit telah diimbangi sumbangan lebih baik daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah (PMS), meningkat 7% YoY didorong oleh kadar penghunian lebih tinggi dan pengembalian sewa,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, meskipun keuntungan sebelum cukai Aeon melonjak 55% YoY, keuntungan bersih teras merosot 32% YoY disebabkan kadar cukai berkesan yang lebih tinggi sebanyak 52%, naik 10.5 mata peratusan YoY didorong perbelanjaan modal tidak boleh ditolak cukai yang lebih besar berikutan pengubahsuaian pusat beli-belahnya di Aeon Ayer Keroh dan Aeon Cheras Selatan.
Dari sudut positif, Maybank IB berkata keputusan Aeon mengatasi jangkaan disebabkan perbelanjaan faedah lebih tinggi daripada jangkaan dan firma itu berpendapat bahawa pendapatan berikutnya bertambah baik didorong oleh perbelanjaan yang meningkat semasa musim perayaan dan cuti sekolah.
Tambahnya, pemulihan berterusan dalam segmen PMS juga menawarkan sedikit sokongan kepada sebarang kelembapan selanjutnya dalam perbelanjaan pengguna.
“Namun begitu, kami menurunkan anggaran pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-FY25) sebanyak 8% hingga 13% untuk memperoleh harga sasaran (TP) lebih rendah 15 sen kepada sebanyak RM1.60 sesaham berdasarkan purata nisbah harga kepada pendapatan FY24 sebanyak 19 kali,” katanya sambil mengekalkan saranan ‘beli’.
Mengulas lanjut, firma itu berkata keuntungan bersih teras Aeon dalam 9MFY23 kepada RM83 juta, susut 8% YoY, merangkumi anggaran pendapatan FY23 firma dan konsensus masing-masing pada 65% dan 67%.
Jelasnya, kekurangan dalam pendapatan terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Setakat pukul 10:45 pagi ini, saham Aeon telah menurun 2 sen atau 1.8% kepada RM1.08 dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.5 bilion. - DagangNews.com