Segmen penerbangan Capital A catat 90 peratus faktor muatan, 15.4 juta penumpang pada suku pertama 2024

Bernama
April 29, 2024 04:10 MYT
Capital A Bhd berkata pertumbuhan pada suku pertama 2024 sebahagian besarnya disebabkan musim cuti sekolah, musim Tahun Baharu Cina serta pertambahan semula laluan China dan India. - Gambar fail/Capital A
KUALA LUMPUR: AirAsia Aviation Group (AAG) yang terdiri daripada AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia dan AirAsia Philippines mencatatkan prestasi yang bertambah baik dengan merekodkan faktor muatan sebanyak 90 peratus pada suku pertama 2024, mencerminkan peningkatan satu peratus tahun ke tahun.
Capital A Bhd dalam satu kenyataan pada Isnin berkata prestasi kukuh itu adalah selari dengan fokus strategik AirAsia untuk mengembangkan kapasiti dan membina semula rangkaiannya.
"Kuantiti penumpang meningkat 17 peratus tahun ke tahun kepada 15.4 juta, mengatasi pertumbuhan kapasiti 15 peratus, sekali gus menunjukkan permintaan perjalanan yang terus kukuh di rantau ini," katanya.
Kumpulan itu berkata pertumbuhan pada suku tersebut sebahagian besarnya disebabkan musim cuti sekolah, musim Tahun Baharu Cina serta pertambahan semula laluan China dan India yang menyumbang kepada faktor muatan kukuh sebanyak 94 peratus, lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik susulan pelancaran koridor perjalanan tanpa visa bagi kedua-dua negara itu yang diperkenalkan pada akhir 2023.
Sehingga akhir Mac tahun ini, kumpulan syarikat penerbangan itu telah menggunakan167 pesawat operasinya.
"AirAsia Philippines dan AirAsia Thailand muncul sebagai syarikat mencatatkan prestasi terbaik dalam kumpulan, dengan faktor muatan tertinggi pada 93 peratus setiap satu, manakala AirAsia Malaysia dan Indonesia mengikuti rapat dengan faktor muatan masing-masing 89 peratus dan 83 peratus," katanya.
Capital A masih memiliki 18.39 peratus kepentingan dalam AAG.
Sementara itu, AirAsia Move, yang dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp, mengekalkan jumlah pengguna yang tinggi melebihi 15 juta pengguna aktif bulanan (MAU) pada Suku Pertama 2024 dengan pertumbuhan 19 peratus tahun ke tahun.
Bagi segmen logistik, kumpulan itu berkata,Teleport mencatatkan 63,945 tan pada Suku Pertama 2024, meningkat 79 peratus daripada Suku Pertama 2023, manakala kadar penggunaan meningkat lima peratus tahun ke tahun kepada 16 peratus pada suku tersebut.
Selain itu, Asia Digital Engineering (ADE) menyelesaikan 82 peratus pemeriksaan penyenggaraan asas berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala penyedia perkhidmatan dalam penerbangan, Santan, merekodkan 5.1 juta unit terjual pada Suku Pertama 2024, peningkatan 13 peratus tahun-tahun.
-- BERNAMA
#AirAsia #Capital A #faktor muatan #prestasi
;