Pengerusi Majlis Perniagaan ASEAN, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid mahu kerajaan menyelesaikan segera isu politik yang melanda ketika ini, bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

Katanya, selain perlu mengkaji dan menilai semula perbelanjaan negara susulan kejatuhan harga minyak dan ringgit, faktor situasi politik semasa negara juga perlu ditangani.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berhubung penubuhan jawatankuasa khas ekonomi bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara dikekalkan.

"Penubuhan jawatankuasa adalah langkah pertama. Langkah kedua apakah cadangan yang akan dibangkitkan dalam masa terdekat kerana kita sudah tidak mempunyai masa dan kita janganlah terus berada dalam penafian bahawa kita ada masalah ekonomi terutama sekali terjadi kerana keruntuhan harga minyak."

"Ya memang betul ada faktor-faktor luar yang mengakibatkan kejatuhan ringgit tetapi ada juga faktor dalam negara, seperti ketidaktentuan keadaan politik," katanya

Menurutnya lagi, walaupun kejatuhan ringgit akan menarik pelabur yang berpandangan sederhana untuk melabur di negara ini dalam jangka masa sederhana, namun sekiranya masalah politik wujud kumpulan itu tidak akan mengambil keputusan untuk melabur di negara ini dan beralih ke negara lain.

Justeru beliau berharap situasi politik dapat dipulihkan segera.

Beliau ditemui pada pelancaran Laporan Menghapuskan Halangan (LTB) 2015 oleh Kelab Perniagaan ASEAN (ABC) dan Institut Penyelidikan ASEAN CIMB (CARI) di ibu negara.

Laporan LTB 2015 merupakan inisiatif sektor swasta dalam mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi dan perniagaan di kalangan anggota ASEAN.