Sedania rancang keluarkan produk perkongsian data mudah alih
Astro Awani
Jun 29, 2015 15:16 MYT
Jun 29, 2015 15:16 MYT
Syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih Sedania Innovator Berhad sedang berbincang dengan beberapa pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi mengembangkan penawaran produknya.
Pengumuman hanya akan dibuat selepas perbincangan dimuktamad tidak lama lagi.
Antara produk terbaharu yang sedang dibangunkan adalah perkongsian data dan tempoh sah kredit.
"Wujud banyak ketidakseimbangan bukan sahaja dalam kredit malah panggilan, data dan tempoh sah.
"Kami sedang bangunkan produk yang digelar Voice Share, Data Share dan Validity Period Share," kata Pengarah Urusan Sedania Datuk Azrin Mohd Noor kepada pemberita selepas penyenaraian syarikat itu di pasaran ACE Bursa Malaysia.
Produk tersebut bakal membolehkan pengguna mudah alih berkongsi waktu berbual, data serta tempoh sah kredit.
Sedania terkenal dengan produk perkongsian waktu berbual atau Airtime Sharing (ATS) melibatkan Celcom, Maxis dan Robi Axiata di Bangladesh.
Setakat 2014, ia mempunyai 324,000 volum transaksi dengan kemampuan memproses 223 transaksi dalam satu saat.
Sedania disenarai di pasaran ACE dengan premium 2 sen dari harga tawaran 38 sen sesaham melibatkan 1.42 juta saham.
"Kami gembira dengan keadaan ekonomi tidak menentu tetapi prestasi saham memberangsangkan," kata Azrin.
Sedania menawarkan 191.6 juta saham, 9 juta bagi orang awam, 1 juta bagi pengarah dan kakitangan yang layak serta baki 41.5 juta bagi pelabur swasta terpilih.
IPO Sedania mencatatkan lebihan langganan 20.3 kali.