SEDANIA, Pos Malaysia meterai kontrak untuk kurangkan penggunaan tenaga

Bernama
September 6, 2021 13:03 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif SEDANIA Daniel Ruppert berkata usaha terbaharu itu merupakan pencapaian penting bagi SEDANIA terutama ketika syarikat memperluas penyelesaian teknologi hijaunya ke dalam industri rantaian logistik dan bekalan.
KUALA LUMPUR: SEDANIA Innovator Bhd (SEDANIA), melalui anak syarikatnya SEDANIA Technologies Sdn Bhd, telah menandatangani kontrak dengan Pos Malaysia untuk mengurangkan penggunaan tenaga berdasarkan konsep penjimatan bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDANIA Daniel Ruppert berkata usaha terbaharu itu merupakan pencapaian penting bagi SEDANIA terutama ketika syarikat memperluas penyelesaian teknologi hijaunya ke dalam industri rantaian logistik dan bekalan.
"Kami berharap dapat membantu Pos Malaysia untuk mengurangkan kos operasi dan mencapai matlamat kelestarian tenaga.
"Memandangkan model kami tidak mengganggu operasi atau kewangan, kami menggalakkan organisasi lain untuk mengadakan inisiatif serupa dan melaksanakan agenda hijau mereka hari ini dan bukannya esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, SEDANIA akan menyediakan teknologinya melalui rangka kerja Kontrak Prestasi Tenaga yang membolehkan organisasi mencapai objektif persekitaran, lestari dan tadbir urus masing-masing selain mengurangkan penggunaan tenaga secara signifikan dengan tidak melibatkan sebarang perbelanjaan modal.
"Kontrak enam tahun itu mewakili penceburan syarikat ke sektor rantaian bekalan, yang telah menyaksikan pertumbuhan yang besar dalam tempoh 18 bulan lepas ekoran peningkatan perbelanjaan dalam talian," katanya.
Ia menambah menurut laporan, Pos Malaysia telah mengirimkan lebih daripada 6.7 juta bungkusan pada tahun 2020 menerusi perkhidmatan Pos Laju SendParcel, yang menjana pendapatan RM45.5 juta.
SEDANIA berkata kontrak itu akan dimulakan dengan penggunaan kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di lapan lokasi Pos Malaysia terpilih di Lembah Klang yang dijadualkan bermula tahun ini dan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.
- BERNAMA
#pos malaysia #meterai kontrak #teknologi hijau #Sedania
;