Sebanyak 1,212 permohonan BEEP bernilai RM175.4 juta diluluskan - SME CORP
Bernama
Mac 18, 2021 04:08 MYT
Mac 18, 2021 04:08 MYT
JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,212 permohonan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) melibatkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera diluluskan dengan nilai geran berjumlah RM175.4 juta pada sepanjang tahun lepas.
Pengerusi SME Corp Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata daripada jumlah itu, 17 permohonan BEEP yang membabitkan nilai geran berjumlah RM1.2 juta merupakan PKS di Johor.
"Bantuan kewangan yang disediakan dalam bentuk geran bertujuan membantu syarikat PKS menjadi kompetitif dan berdaya saing di peringkat domestik dan serantau," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam serta sesi dialog awam bersama Persatuan Usahawan dan Dewan Perniagaan Negeri Johor di sini, malam tadi.
Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Syed Hussien berkata selain itu, melaui Program Tunas Usahawan Belia (TUBE) bagi membantu mengatasi isu pengangguran dalam kalangan belia berjaya melahirkan lebih 5,000 usahawan yang mana daripada jumlah itu seramai 488 usahawan adalah dari Johor.
Sesi dialog awam bersama Persatuan Usahawan dan Dewan Perniagaan Negeri Johor bertujuan memahami dengan lebih jelas cabaran termasuk isu yang dihadapi oleh usahawan di negeri ini agar kementerian dapat mengambil langkah-langkah wajar untuk mengatasinya.
-- BERNAMA
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar
#Wan Junaidi
#PKS
#Bumiputera
#nilai
#usahawan
#menteri
#Belia
#Medac
#BEEP