SDEC 2024: PayMate lancar aplikasi pemudah cara pembayaran, TikTok Shop adakan persidangan pendigitalan PKS
Israr Khalid
Oktober 19, 2024 15:35 MYT
Oktober 19, 2024 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2024 diteruskan untuk hari ketiga pada Jumaat yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi transformasi digital.
Antara sorotan utama yang berlangsung pada Jumaat adalah pelancaran Aplikasi Pembayaran Perniagaan oleh peneraju platform pembayaran B2B digital, PayMate, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Menerusi aplikasi ini, pemilik perniagaan dapat memanfaatkan kad kredit komersial juga runcit bagi menguruskan pembayaran untuk pembekal, sewa, kontraktor, dan banyak lagi, sekali gus melonjakkan kecekapan merentas operasi.
Dengan melanjutkan penggunaan kad kredit di luar perbelanjaan tradisional, aplikasi tersebut memudah cara pembayaran B2B yang lebih luas, menawarkan 55 hari tanpa faedah terhadap kad sedia ada.
Ini sekali gus menyelesaikan banyak masalah yang merencatkan pertumbuhan PKS seperti isu aliran tunai, pembayaran tertunggak, dan akses terhad terhadap kredit mampu milik.
“Aplikasi Pembayaran Perniagaan baharu kami mengoptimumkan modal kerja dan memperkemas pembayaran B2B, memperkasa perniagaan untuk mengendalikan sepenuhnya kewangan mereka.
“Dengan ciri seperti pindahan tanpa had dan keanjalan untuk membuat pembayaran menerusi kad kredit, PKS dapat menyambar peluang dan menguruskan pembayaran pembekal mereka dengan lebih tangkas,” kata Pengurus Besar PayMate Asia Pasifik Amirreza Sawal.
Pelancaran Aplikasi Pembayaran Perniagaan PayMate di SDEC 2024 menandakan pencapaian baharu dalam kerjasamanya dengan Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec), penganjur SDEC 2204 yang aktif memacu pembangunan PKS di Malaysia.
Aplikasi Pembayaran Perniagaan PayMate boleh dimuat turun dari Apple AppStore dan Google PlayStore.
Pada masa sama, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) mengumumkan kolaborasinya dengan BizApp, syarikat teknologi berpangkalan di Selangor yang berpengkhususan dalam Sistem Pengurusan Pesanan, untuk menyertakan 50,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam inisiatif Platform Selangor (PLATS), mengukuhkan lagi peranan Selangor dalam transformasi digital.
Selain itu, Menteri Besar Selangor turut merasmikan Persidangan Pendigitalan PKS TikTok Shop yang mengumpulkan para pemimpin industri, inovator digital, dan para PKS untuk meneroka masa depan e-dagang dan peranan peralatan digital dalam memacu pertumbuhan.
Persidangan itu menggariskan kisah-kisah kejayaan pada PKS terkemuka yang memanfaatkan TikTok Shop, menampilkan pempengaruh tempatan seperti Neelofa, Caryn Law, dan Gary Ng, yang menggunakan platform itu untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Menerusi perbincangan panel, pelancaran produk, dan sesi interaktif, peserta disediakan dengan pandangan terhadap strategi pemasaran digital yang berkesan, pembinaan jenama, dan libat urus dengan pelanggan dalam pasaran yang pantas berubah.
“Kolaborasi ini menyatakan dedikasi kami untuk memperkasa perniagaan kecil dengan cara meningkatkan kemahiran mereka dengan strategi pertumbuhan inovatif untuk memanfaatkan kembangkitan ‘Shoppertainment’ dan perdagangan didorong kandungan di TikTok Shop.
“Kami berterima kasih atas peluang ini dan mahu terus bekerjasama dengan Sidec untuk memberdaya perniagaan tempatan secara digital, ketika mana kami telah melatih lebih 1,300 peniaga Selangor dalam separuh pertama tahun ini,” kata Pengarah Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz.
Persidangan Pendigitalan PKS TikTok Shop memperkukuhkan lagi usaha kolaboratif antara Sidec dengan TikTok Shop untuk mewujudkan ekosistem teguh menyokong pertumbuhan PKS.
Inisiatif strategik seperti Selangor 1000 Digital dan Program Pemacu Selangor (SAP) terus mendorong inovasi dan memupuk keusahawanan di negeri, negara dan rantau ini.