Scoot terbang lima kali seminggu ke Melaka mulai 23 Oktober

Bernama
Ogos 6, 2024 19:06 MYT
Penerbangan ke Kertajati dan Melaka boleh didapati untuk tempahan mulai hari ini melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan saluran lain. - Reuters
SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot, akan melakukan penerbangan lima kali seminggu ke Melaka mulai 23 Oktober dan dua kali seminggu ke Kertajati, Indonesia, mulai 28 September.
Menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini, laluan baharu itu akan memperluas rangkaiannya kepada 72 destinasi dan akan bertepatan dengan ketibaan pesawat Embraer E190-E2 ketiga dan keempat Scoot, masing-masing dinamakan "Jalan-Jalan" dan "Travel Kaki" pada September dan Oktober ini.
"Penerbangan ke Kertajati dan Melaka boleh didapati untuk tempahan mulai hari ini melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan saluran lain secara progresif, dengan tambang kelas ekonomi termasuk semua bermula daripada S$92 (S$1=RM3.37) ke Kertajati dan S$69 ke Melaka, termasuk cukai," katanya.
Jadual penerbangan tertakluk kepada kelulusan atau perubahan oleh kerajaan dan badan kawal selia.
Scoot juga akan menggunakan E190-E2 dalam beberapa perkhidmatan sedia ada yang akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke Pekanbaru, Balikpapan dan Makassar (Indonesia), Davao (Filipina) dan Vientiane (Laos).
Dengan destinasi daripada kumpulan penerbangan sedia ada, Scoot akan mengendalikan 78 penerbangan mingguan ke Indonesia dan 115 penerbangan mingguan ke Malaysia pada Oktober, 37 penerbangan mingguan ke Filipina pada November dan empat penerbangan mingguan ke Laos pada Disember.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot Leslie Thng berkata syarikat penerbangan itu terus mendapat permintaan yang kukuh sejak pelancaran pesawat E190-E2 pada Mei.
"Kami kekal yakin dengan permintaan untuk perjalanan udara dan mempelawa pelanggan kami menggunakan 'Jalan-Jalan' serta meneroka destinasi baharu bersama 'Travel Kaki', menyelami budaya tempatan dan mencipta lebih banyak pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan bersama kami," katanya.
-- BERNAMA
#scoot #penerbangan #Melaka #pelancongan
;