Scomi bekerjasama dengan Odesi, LPHS teroka potensi RSPS
Dagang News
Februari 8, 2022 08:33 MYT
Februari 8, 2022 08:33 MYT
KUALA LUMPUR: Scomi Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Scomi Capital Sdn Bhd bekerjasama dengan Odesi Ecob Sdn Bhd dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam hartanah strata yang diuruskan LPHS.
Ia menyaksikan ketiga-tiga pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka potensi sistem solar photovoltaic di atas bumbung (RSPS), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Isnin.
Menerusi kerjasama itu, Program Dana Hayat dan Bangunan Hijau akan dilancarkan yang mana LPHD dan Odesi akan bekerjasama memasarkan RSPS kepada hampir 6,000 pangsapuri di Selangor dan juga menerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Badan Pengurusan Bersama.
"Untuk menyertai program ini, Jawatankuasa Pengurusan dan Badan Pengurusan Bersama pangsapuri terbabit tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan.
"Program ini secara dasarnya, akan dilaksanakan di bawah konsep Bina, Operasi dan Pemindahan (BOT)," katanya.
MoU itu bertujuan untuk menyediakan kerangka kerjasama dengan memudahkan kerjasama antara pihak terlibat.
Ia akan berkuat kuasa bagi tempoh selama 3 tahun bermula dari tarikh ditandatangani dan selepas itu, akan dilanjutkan bagi tempoh 2 tahun, melainkan terdapat keputusan yang dibuat pihak berkaitan.
Menurut Scomi, MoU tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan utama kumpulan.
"Pada masa ini, ia tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan gearan Scomi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022," katanya. - DagangNews.com