Schneider Electric lantik Pang Xingjian Presiden Zon Asia Timur baharu
Bernama
Februari 29, 2024 08:20 MYT
Februari 29, 2024 08:20 MYT
KUALA LUMPUR: Schneider Electric melantik Pang Xingjian sebagai Presiden Zon Asia Timur baharu berkuat kuasa 1 Jan 2024.
Schneider Electric dalam kenyataan semalam berkata Pang akan beroperasi dari ibu pejabat serantau di Singapura, Pulse@Kallang dan menerajui pertumbuhan di Zon Asia Timur dengan memberi tumpuan kepada kemampanan, pengurusan tenaga dan automasi generasi akan datang.
Menurut kenyataan itu, kepakaran Pang akan menyokong Schneider Electric dalam usahanya untuk meningkatkan sektor pembuatan di Malaysia dalam mengintegrasikan langkah mampan ke dalam strategi pertumbuhan, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Presiden Negara Schneider Electric Malaysia, Eugene Quah berkata dengan pengalaman luas Pang syarikat itu bersedia untuk mengukuhkan usaha kolektifnya di rantau itu.
"Kami berbesar hati mempunyai Pang dalam pasukan kepimpinan di Schneider Electric. Kami bersedia untuk mengharungi kerumitan dan merebut peluang untuk memajukan misi kami bagi memanfaatkan sepenuhnya tenaga dan sumber, merapatkan kemajuan dan kemampanan untuk semua.
"Kami berhasrat untuk mengukuhkan usaha ke arah daya tahan industri dan menyumbang untuk menangani cabaran alam sekitar di negara ini. Ini melibatkan sokongan pelanggan kami dalam meningkatkan kecekapan tenaga, menerima pakai teknologi digital dan melaksanakan strategi untuk kelestarian dan ESG (tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat)," katanya.
Quah berkata syarikat itu menyasarkan untuk menangani cabaran industri yang mendesak seperti kekurangan kemahiran dan menyokong pelanggan dalam transformasi digital mereka melalui ekosistem rakan kongsi yang luas di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Zon Asia Timur merangkumi 14 pasaran termasuk Malaysia dan Schneider Electric yang menggaji 12,000 tenaga kerja di lebih 100 kemudahan jualan, pengeluaran, logistik dan RD di seluruh Asia Timur.
Pang menyertai Schneider Electric pada 2002 sebagai Offer Marketer in Low Voltage dan telah memegang pelbagai jawatan eksekutif termasuk Naib Presiden Perniagaan Pengurusan Peralatan Asal (OEM) China dan Naib Presiden Kanan Automasi Industri di China.
Lulusan Lanzhou University of Technology itu memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Teknologi dan Peralatan Pembuatan Mekanikal. Beliau juga memiliki Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal dan MBA Eksekutif dari China Europe International Business School.
-- BERNAMA