SC tumpu empat teras utama bagi tahun 2020, COVID-19 terus jejaskan pasaran modal
Ibrahim Sani
April 16, 2020 14:26 MYT
April 16, 2020 14:26 MYT
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menetapkan empat teras utama bagi memacu pasaran modal negara ke hadapan bagi tahun 2020 yang amat mencabar.
Pertama, SC akan memastikan kestabilan pasaran modal akan terus berlaku. Ini akan dilaksanakan dengan memastikan pasaran terus didagang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Setelah meneliti beberapa perkara yang telah berlaku, dan membincangkan isu ini bersama teman-teman saya di industri ini, (SC) mengambil langkah untuk meneruskan perniagaan dengan berdagang di pasaran terbuka sepanjang tempoh PKP, dan selepas PKP berakhir akan dapat memastikan kestabilan terus berlaku," kata Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar dalam satu kenyataan hari ini.
"Selain itu, langkah-langkah lain seperti pengawasan risiko pasaran, mengehadkan short selling dan sebagainya dalam membantu usaha ini," tambah beliau lagi.
Selain itu, Ketua Pegawai Pengawasan SC, Foo Lee Mei mengatakan bahawa perlindungan yang menyeluruh terus akan diberikan kepada syarikat-syarikat kecil, sederhana, dan sebagainya.
"Langkah ini termasuk memastikan syarikat bermodal kecil akan terus dapat membolehkan mereka mengambil hutang di samping memastikan mereka dapat mengurangkan risiko perniagaan sedia ada," kata Lee Mei.
Teras kedua SC, adalah memperbanyakkan peluang kepada pasaran dalam kadar segera.
Antara usaha yang dijalankan untuk ini termasuk meliberalesasikan peluang pelaburan digital, meneruskan usaha ECF dan P2P, dan mengembangkan kebolehan wakaf dan sebagainya kepada pelabur.
Teras ketiga SC, adalah memastikan kebolehan untuk melengangkan pengawal-seliaan. Ini termasuk membenarkan syarikat PN17 untuk ada tempoh lebih lama menguruskan status kewangan mereka, membenarkan Mesyuarat Agung dijalankan secara maya, dan membenarkan pemanjangan syarikat untuk membuat laporan kewangan beraudit.
Teras keempat SC untuk tahun 2020 adalah memastikan integriti pasaran terus kukuh.
Usaha ini termasuk menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat, seperti Invest Smart. Selain itu, usaha untuk memastikan reformasi pasaran pengawalseliaan dan keberkesanan dalam menggunakan tindakan undang-undang dalam memastikan kepercayaan kepada pasaran.
Sementara itu, Pengerusi SC menyatakan bahawa wabak COVID-19 akan terus mengganggu-gugat usaha untuk mengembangkan ekonomi, dan pasaran.
"Sepertimana kita tahu, koronavirus telah melenyapkan pelbagai usaha kami, dan di serata dunia untuk membantu mengembangkan pasaran.
"Perkara ini dikeruhkan lagi dengan pelbagai ketidak-tentuan pasaran susulan PKP, pertambahan kes-kes positif COVID-19, dan lain-lain. Ini akan menjadikan satu situasi yang sangat sukar untuk Malaysia terus maju ke hadapan untuk tahun 2020.
"Namun demikian, pihak SC percaya separuh kedua 2020 akan menjadi tumpuan pasaran untuk membina semula pasaran modal. Dan tahun 2021 adalah menjadi kritikal bagi semua negara meneruskan usaha untuk membina pasaran," kata Datuk Syed Zaid lagi.
#COVID-19
#ekonomi
#integriti
#koronavirus
#Malaysia
#pelaburan
#SC
#seccom
#Securities Commission
#suruhanjaya sekuriti
#Syed Zaid Albar
#sza
#undang-undang