SC keluarkan perintah henti dan hindar terhadap RimauSwap
Bernama
Oktober 7, 2021 05:00 MYT
Oktober 7, 2021 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan perintah henti dan hindar ke atas RimauSwap (https://rimauswap.finance/) kerana mengendalikan pertukaran desentralisasi (DEX) tanpa kebenarannya.
Dalam kenyataan pada Khamis, SC berkata tindakan itu diambil selepas menerima maklumat daripada orang ramai.
"SC akan turut mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat laman web RimauSwap. Selain itu, RimauSwap juga telah diletakkan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC," katanya.
Menurut suruhanjaya itu, DEX merupakan platform pertukaran desentralisasi rakan setara yang membolehkan individu menukar aset digital masing-masing secara langsung tanpa perantara dan transaksi itu dikendalikan menerusi mekanisme protokol automatik yang dikenali sebagai kontrak pintar.
"SC tidak pernah melantik atau memberi kebenaran kepada mana-mana pengendali DEX di Malaysia. Orang ramai adalah diingatkan agar tidak berurusan dengan sebarang entiti tidak berdaftar yang mengendalikan DEX di negara ini," katanya.
Sehubungan itu, SC memberi amaran kepada semua pengendali tidak sah DEX di Malaysia untuk menghentikan aktiviti dengan serta-merta.
"Perbuatan mengendalikan DEX tanpa berdaftar dengan SC adalah satu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti Malaysia. Mana-mana entiti yang berminat untuk mengendalikan DEX sebaliknya perlu memohon untuk didaftarkan sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) dengan SC," katanya.
Dalam pada itu, SC menggesa para pelabur supaya hanya melakukan dagangan dengan RMO yang berdaftar dengan suruhanjaya itu dan merujuk laman sesawangnya bagi mendapatkan senarai pengendali terbabit.
Malah, SC juga mengingatkan bahawa pelabur yang melakukan dagangan dengan entiti atau individu tidak berlesen atau berdaftar, adalah tidak dilindungi undang-undang sekuriti Malaysia serta terdedah kepada risiko seperti penyelewengan dan pengubahan wang.
"Orang ramai juga diingatkan untuk memaklumkan kepada SC jika mereka mengetahui mengenai sebarang aktiviti, laman sesawang dan peluang pelaburan mencurigakan, terutama yang menawarkan pulangan tinggi dengan risiko kecil atau tanpa risiko.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh disalurkan kepada SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel aduan@seccom.com.my.
-- BERNAMA
#suruhanjaya sekuriti
#RimauSwap
#DeX
#perintah henti dan hindar
#pertukaran desentralisasi
#Senarai Peringatan Pelabur
#sekat laman web