SC keluarkan garis panduan tadbir urus ESG untuk PKS
Bernama
Oktober 11, 2023 04:00 MYT
Oktober 11, 2023 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk menyediakan garis panduan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Syarikat gabungannya, Capital Markets Malaysia (CMM) juga akan menerbitkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas (SEDG) untuk PKS, kata Pengerusi SC Datuk Seri Awang Adek Hussin.
Beliau menyatakan bahawa sokongan dan bimbingan untuk PKS adalah penting bagi mengurangkan risiko daripada kelemahan rantaian bekalan dan gangguan.
"Kami juga menyokong penerapan tadbir urus korporat merentasi rantaian bekalan, terutamanya oleh PKS," katanya dalam ucaptama pada Meja Bulat Asia mengenai Tadbir Urus Korporat Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2023 di sini pada Rabu.
Awang Adek berkata garis panduan Malaysia secara umumnya seiring dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD yang dikemas kini, dan disahkan oleh para pemimpin bulan lepas.
Pada masa yang sama, Jawatankuasa Penasihat mengenai Pelaporan Kemampanan sedang membangunkan pendekatan peringkat kebangsaan bagi mematuhi piawaian pendedahan kemampanan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa.
"Malaysia sentiasa menjadi contoh dari segi tadbir urus korporat. OECD menghargai langkah Malaysia untuk memulakan perjalanan tadbir urus kita lebih awal dan telah mencapai kemajuan yang baik.
"Ia adalah pelaksanaan yang berterusan untuk menjadikan syarikat kita lebih sejajar, lebih bersedia dalam perjalanan kemampanan mereka," katanya.
Awang Adek berkata untuk 18 bulan akan datang, tumpuan juga akan diberikan kepada keutamaan tadbir urus semasa, dan SC akan terus mengawal selia tadbir urus lembaga.
Prinsip G20/OECD yang disemak semula menekankan tanggungjawab lembaga pengarah, termasuk kepentingan langkah untuk meningkatkan kepelbagaian lembaga dan pengurusan.
Sehubungan itu, pada Jun 2023, Bursa Malaysia mewajibkan syarikat tersenarai mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita dalam lembaga pengarah (BOD) mereka.
Keperluan mandatori itu dilaksanakan selepas semakan terhadap Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021 oleh SC, yang mengesyorkan bahawa sekurang-kurangnya terdapat 30 peratus pengarah wanita daripada semua BOD.
Pada Ogos, SC, Institut Pengarah Korporat Malaysia dan Bursa Malaysia melancarkan Program Peneraju Bagi Impak, satu latihan asas mandatori baharu mengenai kemampanan untuk pengarah semasa dan akan datang dalam firma yang tersenarai.
Sehingga kini, lebih 1,000 pengarah telah mendaftar untuk menyertai program itu, kata Awang Adek.
-- BERNAMA