SC akan siasat yayasan berdaftar di Singapura berkaitan "CopyCashCoin"
Bernama
Januari 5, 2018 19:32 MYT
Januari 5, 2018 19:32 MYT
Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia akan menyiasat sebuah yayasan berdaftar di Singapura mengenai rancangan untuk melancarkan tawaran syiling permulaan (ICO) yang dikenali sebagai CopyCashCoin (CCC).
Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata, pihaknya mendapati terdapat peningkatan dalam aktiviti ICO baharu yang menawarkan pelaburan dalam mata wang kripto kepada orang ramai, termasuk warga emas.
Menurutnya, seperti dilaporkan media, yayasan itu akan melancarkan ICO pada 10 Jan 2018 dan pengendali ICO tersebut telah mengadakan ceramah dan seminar di bandar utama di Malaysia, termasuk Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
"Memandangkan aktiviti tersebut mungkin termasuk dalam bidang kuasa undang-undang sekuriti, pihak SC akan menjalankan siasatan rasmi terhadap CCC dan pengendalinya," katanya.
Ia juga mengingatkan orang ramai agar mendapatkan nasihat undang-undang atau profesional jika mereka ragu mengenai keperluan perundangan dan kawal selia yang berkenaan.
"Pelabur perlu berhati-hati terhadap risiko dalam ICO dan pengaturan pelaburan yang melibatkan token digital.
"Pelabur hendaklah memahami produk tersebut, mengetahui lebih lanjut mengenai projek dan perniagaan asas serta aset pengendali dan skim, terutama apabila tiada maklumat yang mencukupi mengenai syarikat atau stuktur perundangannya," katanya.
Selain itu, katanya, pelabur hendaklah berwaspada kerana mereka terdedah kepada risiko penipuan disebabkan ICO beroperasi secara dalam talian dan mungkin tidak dikawal selia.
SC akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain untuk memantau aktiviti sedemikian dan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu, tambahnya. -- Bernama