"Saya tidak bersara dari AirAsia," tegas Tony
Najib Aroff, Malik Ridhwan
Disember 13, 2017 11:49 MYT
Disember 13, 2017 11:49 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menyangkal spekulasi beliau bakal bersara dari syarikat penerbangan tambang rendah itu.
"Saya tidak akan bersara," itu keyakinan diberi Fernandes dalam satu pengumuman khas dibuat di ibu pejabatnya, RedQ di sini pada Rabu.
"Terima kasih kepada semua yang masih menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya untuk terus meneraju syarikat penerbangan ini. Saya akan terus kekal di sini untuk membawa AirAsia ke satu tahap yang lebih tinggi," kata Fernandes.
Beliau sebelum ini turut memuatnaik tweet berkenaan spekulasi itu.
“Saya ketawa terhadap dakwaan saya akan bersara. Pengumuman saya adalah berkaitan masa hadapan AirAsia,” katanya dalam tweet beliau.
Fernandes pada Rabu mengumumkan beberapa pelantikan baharu dan perubahan kepada barisan kepimpinan kanan AirAsia.
Aireen Omar dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Transformasi Digital dan Perkhidmatan Korporat), manakala Riad Asmat dilantik Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad yang baharu hari ini.