Saya arah Arul Kanda bayar hutang 1MDB RM143.75 juta sebelum 30 Mei - Guan Eng

Rahimah Abdullah
Mei 22, 2018 17:39 MYT
Guan Eng juga dimaklumkan bahawa perkhidmatan Arul Kanda sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB adalah sehingga 30 Jun. - Foto Astro AWANI
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengeluarkan arahan kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy agar membayar balik hutang 1MDB dengan kerajaan sebanyak RM143.75 juta.
Tegasnya, 1MDB perlu menjelaskan hutang berkenaan selewat-lewatnya pada 30 Mei ini.
“Saya telah dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa bahawa antara perkara paling perlu disegerakan dan diselesaikan pada hari pertama saya di kementerian ialah pembayaran hutang 1MDB.
“Ini adalah kerana jumlah RM143.75 juta perlu dibayar oleh 1MDB selewat-lewatnya 30 Mei 2018,” katanya dalam sidang media pertamanya sebagai Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
“Arul Kanda setakat ini menegaskan bahawa 1MDB dapat melangsaikan hutang itu sepenuhnya. Jadi, saya telah memberikan arahan kepada Arul Kanda untuk membayar jumlah berkenaan minggu depan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Guan Eng telah berjumpa dengan Pengarah-Pengarah 1MDB, iaitu Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob untuk mengulas kepada kementerian mengenai skandal 1MDB.
“Kami juga sangat prihatin terhadap perkara di atas kerana saya telah dimaklumkan oleh pegawai kementerian bahawa MOF (Kementerian Kewangan) telah menyelamatkan hutang 1MDB sejak April 2017,” katanya lagi.
Setakat ini katanya, Kementerian Kewangan telah menyelamatkan hutang 1MDB sebanyak RM6.98 bilion.
“Jumlah itu termasuk pembayaran yang dibuat IPIC sebagai Perjanjian Penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion,” kata Guan Eng.
Justeru katanya ia jelas menunjukkan bahawa 1MDB telah menipu rakyat Malaysia dengan mengatakan mereka telah membayar hutang kepada kerajaan melalui langkah rasionalisasi yang berjaya.
“Lebih teruk, senarai bayaran sehingga kini adalah hanya melibatkan interest (faedah), bayaran kupon, dan pendahuluan dari IPIC. Mereka tidak memgambil kira hutang berbilion ringgit yang perlu dibayar sehingga tahun 2022."
Beliau juga dimaklumkan bahawa perkhidmatan Arul Kanda sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB adalah sehingga 30 Jun.
#1Malaysia Development Berhad #Arul Kanda #Kementerian Kewangan #Lim Guan Eng #SRC International Sdn Bhd
;