SAY ASPIRE buka peluang usahawan Selangor tembusi pasaran global
Dania Zainuddin
Februari 22, 2018 07:13 MYT
Februari 22, 2018 07:13 MYT
Lima syarikat di Selangor dipilih untuk mengikuti program SAY ASPIRE selepas berjaya melepasi sesi uji 'pitching' atau pembentangan perniagaan di sini pada Khamis.
Tanimac, Pops Malaya, Dapo, Athena Empowers dan Medicats merupakan yang bertuah daripada 10 syarikat yang membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan barisan panel juri.
Program tersebut dianjurkan bagi membantu usahawan negeri ini meningkatkan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa, menurut Eksekutif Selangor Youth (SAY) Community, G Krishnavarrthani.
"Ini adalah anjuran yang pertama kali diadakan dan kami telah menerima lebih 100 permohonan.
"Selain sesi latihan keusahawanan, kami juga bekerjasama dengan Hijrah Selangor yang akan memperuntukkan RM50,000 dana bantuan kepada syarikat yang layak," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas sesi pembentangan.
Juri yang terlibat dalam sesi itu termasuk Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Pengarah Eksekutif Sunway Group Berhad Serena Cheah, dan Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mansor Shah.
Diminta mengulas, Ketua Pegawai Eksekutif Pops Malaya, Yasmin Karim berkata, dia akan mengambil peluang untuk melihat bagaimana prestasi syarikat boleh ditambah baik selepas menjalani program ini.
"Sebagai usahawan, program ini menawarkan peluang untuk produk dari Selangor ke pasaran global
"Kalau bersendirian, mungkin dapat dicapai juga, tetapi proses itu akan lebih perlahan," kata Yasmin.
Sementara itu, pengasas Athena Empowers, Hasnurhuda Mohd Hanafiah juga berharap program ini dapat membantu syarikatnya lebih berdaya saing.
"Selepas ini, kami akan menumpukan kepada pemasaran dan rancangan pertumbuhan syarikat," katanya.
Program SAY ASPIRE ini adalah inisiatif SAY dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Penyelidikan (CEDAR), Hijrah Selangor dan menerima sokongan dari Matrade.
Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan yang merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.