Sarawak tidak benarkan pemaju swasta beri pinjaman perumahan
Bernama
September 22, 2016 14:31 MYT
September 22, 2016 14:31 MYT
Sarawak tidak akan menerima pakai langkah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membenarkan pemaju perumahan swasta memberi pinjaman kepada pembeli rumah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia kerana langkah seumpama itu boleh mendatangkan risiko kewangan kepada pemaju yang skim tersebut tidak dapat bertahan dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata langkah itu juga mungkin meningkatkan kos pembiayaan akhir, menghalang pemaju daripada melakukan perniagaan teras mereka dan boleh mendedahkan pemaju kepada kegagalan pembeli membayar balik pinjaman.
"Bagi memastikan pemberian pinjaman yang munasabah, adalah lebih baik bagi bakal pembeli memperoleh pinjaman daripada bank dan institusi kewangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 8 Sept lalu, menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar mengumumkan pemaju hartanah boleh memohon kepada kementerian lesen memberi pinjaman bagi pinjaman perumahan sehingga 100 peratus daripada nilai hartanah sebagai pembiayaan tambahan kepada pembeli yang mungkin tidak layak memperoleh pinjaman bank.
Abang Johari berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Perumahan untuk menyediakan pinjaman kepada kumpulan berpendapatan rendah, yang kini ia memfokus kepada pinjaman bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik perbadanan itu.
"Agensi pinjaman ini merupakan pilihan lebih baik bagi bakal pembeli rumah yang mengalami kesukaran memperoleh pinjaman daripada bank. Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd akan mengikuti piawaian pengurusan pinjaman bank dalam memproses permohonan pinjaman dengan memberi sesetengah kelonggaran kepada pemohon yang memerlukan dan layak," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus meningkatkan usaha melaksanakan inisiatif perumahan seperti projek PR1MA, PPR, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Skim Rumah Mesra Rakyat dan MyHome. -- BERNAMA