Sarawak sasar kegemilangan menjelang 2030 - Taib

Bernama
September 16, 2013 12:51 MYT
Sarawak sedang merangka pendekatan untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.
Menyifatkan cita-cita ini sebagai Sarawak Gemilang 2030, beliau berkata Sarawak yang ketinggalan agak jauh dari segi pembangunan sewaktu peringkat awal penubuhan Malaysia kini sudah dapat menyaingi negeri lain yang maju lebih dahulu daripadanya.
"Hala tuju kita semakin mendekati Wawasan 2020 tapi di Sarawak kita tidak akan berhenti di situ sahaja kerana impian emas kita untuk mencapai Sarawak Gemilang menjelang 2030," katanya semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia Ke-50 di Padang Merdeka di sini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan untuk berangkat menyempurnakan istiadat itu yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara kenamaan yang menghadiri istiadat berkenaan.
Taib berkata pencapaian Sarawak selepas 50 tahun merdeka melalui penubuhan Malaysia adalah hasil kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
"Kami merasakan semakin teguh dalam Malaysia dan kami mahu menyumbang lebih lagi," katanya.
Taib berkata pengwujudan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah antara pendekatan kerajaan dalam usaha untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi yang sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.
Katanya pembangunan Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu yang menjadi sebahagian daripada SCORE sehingga kini berjaya menarik pelaburan lebih RM24 bilion oleh 15 buah syarikat multinasional.
"Ini adalah antara contoh pembangunan yang dilaksanakan untuk merealisasikan harapan Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi," katanya.
Beliau berkata hubungan erat antara Sarawak dan Kerajaan Pusat yang diterajui Najib akan diperkukuhkan lagi bagi memastikan pembangunan yang berlaku di negeri ini akan berlangsung secara menyeluruh dan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat.
"Hasrat dan komitmen kerajaan Barisan Nasional negeri adalah untuk melaksanakan program yang memberi impak besar kepada rakyat," katanya.
#Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud #Sarawak Gemilang 2030
;