Sarawak perlu lebih 800,000 pekerja untuk ladang kepala sawit

Bernama
Januari 7, 2025 15:40 MYT
Bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja, Salcra telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Indonesia, seperti Jakarta dan Lombok, untuk menjalankan temu duga terhadap pekerja yang berminat. - Gambar fail
KUCHING: Sarawak memerlukan lebih 800,000 pekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negeri, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah negeri Datuk Seri Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata jumlah berkenaan hanya melibatkan ladang yang diuruskan oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) dan tidak mengambil kira sektor pertanian lain.
"Dianggarkan terdapat 1.62 juta hektar (tanah ladang kelapa sawit) di negeri ini. Kita menghadapi masalah besar iaitu kekurangan penuai buah sawit.
"Setiap pekerja sepatutnya menuai 1.5 tan hasil sehari. Tanpa jumlah pekerja yang mencukupi, kita akan kerugian wang dan peluang," katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja selama lima hari ke Indonesia hari ini.
Dr Rundi berkata bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja, Salcra telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Indonesia, seperti Jakarta dan Lombok, untuk menjalankan temu duga terhadap pekerja yang berminat.
"Proses (pengambilan pekerja asing) memerlukan banyak pematuhan peraturan. Kami perlu bekerjasama dengan jabatan buruh dan imigresen. Di Semenanjung Malaysia, pekerja biasanya tiba dalam tempoh 45 hari, tetapi dalam kes kita, ia masih mengambil masa sekitar 90 hari atau lebih," katanya.
Beliau berkata Sarawak mempermudah proses pengambilan pekerja ladang kelapa sawit dari Indonesia untuk menyokong operasi ladang Salcra.
-- BERNAMA
#Stephen Rundi Utom #Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak #Salcra #enteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah
;