Sarawak perkasa industri petrokimia, jalin kerjasama dengan syarikat dari Singapura
Fadilah Sulaiman
September 30, 2021 16:37 MYT
September 30, 2021 16:37 MYT
KUCHING: Sarawak dalam usaha memperkasa industri petrokimia yang merupakan salah satu sumber utama ekonomi negeri itu dengan menjalin perjanjian bersama perunding Singapura, Surbana Jurong Infrastructure Sdn. Bhd.
Perjanjian ditandatangani menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Terminal Industri (MINTRED) itu adalah bagi membantu menjalankan kajian pelan induk dalam rancangan transformasi industri berkenaan di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tujuan utama kajian adalah untuk meneroka kaedah inovatif dan langkah berani MINTRED dalam mengembangkan industri hiliran minyak dan gas.
Menurutnya, perkara itu juga akan menambil kira aspek kelestarian untuk memenuhi keperluan masa depan.
"Oleh itu, saya percaya sudah tiba waktunya bagi Sarawak untuk melakukan kajian pelan induk ini untuk mengubah industri petrokimia hiliran Sarawak. Perkembangan industri semasa di Sarawak mungkin perlu dikaji semula untuk menyesuaikan dengan perubahan permintaan global.
"Hal ini penting bagi Sarawak untuk menyusun semula dan memetakan strategi baru untuk pembangunan hiliran minyak dan gas sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian semasa menyaksikan tandatangan perjanjian yang diwakili Setiusaha Tetap MINTRED Datu Liaw Soon Eng bersama Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN Surbana Jurong Group, Yeo Choon Chong secara maya pada Rabu.
Tambah Awang Tengah, Jurong Island Chemical Hub dibangunkan oleh Surbana Jurong yang menjadi antara hab petrokimia utama Asia dapat menjadi model kepada Sarawak untuk mengembangkan industri petrokimia bersesuaian dengan matlamatnya.
Tahun lalu, Sarawak merupakan tempat pelaburan kedua tertinggi dalam negara dengan jumlah pelaburan 15.7 bilion ringgit.
Kata Awang Tengah, usaha membangunkan industri petrokimia ini dijangka terus menarik minat pelabur kepada Sarawak selari dengan fokus dunia menuju ke pelaburan hijau.