Sarawak Pavilion akan membuat kemunculan di IMEX Frankfurt dari 23-25 Mei

Bernama
Mei 12, 2023 04:45 MYT
BESarawak berkata, Sarawak akan mengambil bahagian dalam pavilion sulungnya secara solo di pameran perdagangan global untuk acara perniagaan. - Gambar twitter @bernamadotcom
KUALA LUMPUR: Sarawak dijangka mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi antarabangsa untuk legasi, kepimpinan pemikiran dan inovasi menerusi penampilan sulungnya di IMEX Frankfurt, Jerman dari 23 hingga 25 Mei.
Business Events Sarawak (BESarawak) berkata dalam satu kenyataan bahawa Sarawak akan mengambil bahagian dalam pavilion sulungnya secara solo di pameran perdagangan global untuk acara perniagaan.
"Berpegang teguh kepada tema pembangunan komuniti, program pavilion ini akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara utama seperti Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang mana pleno yang disusun khas akan mengetengahkan strategi enam sektor ekonomi dan tujuh sektor pemboleh yang disasarkan untuk pertumbuhan oleh kerajaan Sarawak," kata kenyataan itu.
Nama pavilion tahun ini ialah 'Tribe Legacy Sarawak' dan bertemakan 'Business Events Support Community Development' (Acara Perniagaan yang Menyokong Pembangunan Komuniti), iaitu sambutan unik penglibatan kuat industri dengan masyarakat tempatan dan menyumbang kepada kelestarian ekonomi, sosial dan budaya di Sarawak.
Pavilion itu akan menampilkan pameran mengenai pembangunan impak legasi Sarawak, PCDS 2030 dan Jurnal Antarabangsa Acara dan Legasi Perniagaan.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata PCDS merupakan strategi penting kerajaan untuk mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar menjelang 2030.
"Kerajaan Sarawak melabur dengan menggunakan acara perniagaan sebagai platform perniagaan dan kerjasama untuk menangani agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), oleh itu pleno yang berlangsung di pavilion akan menjadi penting bagi pembuat keputusan global dan pemimpin pendapat utama dalam mana-mana daripada enam sektor ekonomi dan tujuh sektor pemboleh," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Amelia Roziman berkata, dalam mencerminkan komitmen Sarawak terhadap kemampanan sosial, syarikat itu telah bekerjasama dengan beberapa perusahaan kecil dan sederhana serta NGO untuk mempamerkan rangkaian produk mereka.
"Persatuan, pembeli yang ditaja, rakan industri dan media dialu-alukan untuk melawat pavilion kami, menghadiri mana-mana pleno dan bertemu dengan rakan industri Sarawak.
Sebagai tambahan, sidang akhbar akan diadakan pada hari pertama (23 Mei) IMEX Frankfurt untuk mendedahkan Pelan Tindakan Induk Impak Legasi tiga tahun dan membuat pengumuman rasmi dengan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar mengenai komitmen mereka terhadap impak legasi.
Memandangkan Kuching ialah Bandar Gastronomi Unesco Malaysia, pengunjung pavilion akan dihiburkan dengan pameran mixologi kreatif oleh penyedia makanan dan minuman, The Bibber's Tale.
IMEX Frankfurt ialah pameran perdagangan acara perniagaan terbesar di Eropah dan antara yang terkemuka di dunia dengan 2,500 peserta pameran dan lebih 3,000 pelawat bertemu di tapak pameran Messe Frankfurt.
-- BERNAMA
#BESarawak #COVID-19 #pelancongan #PCDS
;