Sarawak antara lima negeri teratas prestasi ekonomi terbaik - Abang Johari

Bernama
Februari 2, 2025 11:45 MYT
Abang Johari berkata jumlah pendapatan yang dicatatkan negeri itu sebanyak RM14.2 bilion. - Foto fail/BERNAMA
SIBU: Sarawak berada dalam kelompok lima negeri teratas di Malaysia dari segi prestasi ekonomi pada tahun lepas, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari berkata jumlah pendapatan yang dicatatkan negeri itu sebanyak RM14.2 bilion.
"Dari segi eksport, Sarawak berada pada kedudukan yang cukup kukuh. Kita kini di tempat keempat dalam eksport negara ke rakan dagangan antarabangsa. Ini menunjukkan prestasi ekonomi kita terus berkembang dan membuahkan hasil," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Tahun Baru Cina United Chinese Association Sibu Division (UCA Sibu) di sini malam tadi.
Beliau turut memberitahu Sarawak sedang berunding untuk menubuhkan fakulti perubatan dari Fudan University, China bagi pengajaran perubatan barat dan timur memandangkan China merupakan negara terbaik dalam perubatan timur.
"Kita mempunyai banyak sumber biodiversiti dan ini boleh dijadikan sumber untuk kita mempromosikan perubatan timur," katanya.
Abang Johari juga memaklumkan beliau telah dijemput oleh pihak Yusuf Ishak Institute di Singapura bagi menyampaikan ceramah awam mengenai ekonomi Sarawak dan hala tuju tenaga boleh diperbaharui pada 10 Feb ini.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #ekonomi #pendapatan #berkembang
;