Sapura Energy Lantik Wan Mashitah dan Nur Iskandar sebagai pengarah

Bernama
Mei 26, 2023 23:20 MYT
Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) telah melantik dua ahli lembaga pengarah baharu, Wan Mashitah Wan Abdullah Sani dan Datuk Nur Iskandar A Samad sebagai pengarah bukan eksekutif bebas berkuat kuasa hari ini.
KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) telah melantik dua ahli lembaga pengarah baharu, Wan Mashitah Wan Abdullah Sani dan Datuk Nur Iskandar A Samad sebagai pengarah bukan eksekutif bebas berkuat kuasa hari ini.
Sapura Energy dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pengarah itu adalah profesional dalam industri tenaga yang berpengalaman dan pengalaman kepimpinan mereka sangat bernilai kepada syarikat kerana ia melaksanakan pelan Reset dan mahu berkembang maji pada masa hadapan.
Pengerusinya Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata kumpulan itu gembira kerana Wan Mashitah dan Nur Iskandar telah menerima peranan mencabar sebagai ahli lembaga pengarah.
"Latar belakang industri dan kepintaran menguruskan perniagaan mereka yang cemerlang akan meningkatkan kepakaran kolektif Sapura Energy dengan ketara ketika kami kini sedang berusaha untuk memulihkan syarikat.
"Kami yakin dengan kebijaksanaan mereka dalam mengemudi pelaksanaan pelan Reset kami dan pada masa sama mencipta laluan yang mampan dalam peralihan tenaga," tambahnya.
-- BERNAMA
#Sapura Energy #Wan Mashitah Wan Abdullah Sani #Nur Iskandar A Samad #pengarah bukan eksekutif bebas
;