Sapura, Aselsan jalin kerjasama strategik majukan teknologi komunikasi dan C2 Malaysia
Firdaus Azil
Februari 12, 2025 15:42 MYT
Februari 12, 2025 15:42 MYT
Sapura dan Aselsan berdedikasi untuk memupuk pertukaran teknologi-ekonomi timbal balik antara Malaysia dan Turkiye yang akan memacu inovasi dan meningkatkan keselamatan negara.- Foto Sapura Secured Technologies
Putrajaya: Sapura Secured Technologies (Sapura) dan syarikat berpangkalan di Turkiye, Aselsan A.S. (Aselsan) telah mewujudkan kerjasama strategik untuk memajukan keupayaan teknologi komunikasi dan kawalan & arahan (C2) Malaysia di bawah program dua hala Malaysia-Turkiye.
Sapura dalam satu kenyataan media berkata, kerjasama penting itu dijangka memacu inovasi teknologi dan kerjasama ekonomi dalam sektor pertahanan dan keselamatan awam.
Ia berkata, Pertukaran Nota untuk Kerjasama Strategik dalam Bidang Sistem Komunikasi itu menyokong kerjasama antara Sapura dan Aselsan, dan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan Profesor Dr Haluk Gorgun, Presiden Agensi Industri Pertahanan Turki (SSB).
“Pertukaran Kerajaan-ke-Kerajaan (G2G) itu disaksikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana pada Selasa.
“Memorandum Perjanjian (MOA) Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B) untuk Kerjasama Strategik dalam Sistem Komunikasi SDR dan Teknologi Kawalan & Arahan Berpusat Rangkaian telah ditandatangani oleh Tan Sri Shahril Shamsuddin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura dan Encik Ahmet Akyol, Ketua Pegawai Eksekutif Aselsan dan kemudiannya ditukar pada Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” menurut kenyataan itu lagi.
Sapura berkata, MOA tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan teknologi Radio Terdefinisi Perisian (SDR), yang merupakan pemacu utama untuk keupayaan C2 moden dalam infrastruktur pertahanan dan keselamatan awam Malaysia.
Melalui inisiatif itu, ia berkata, Sapura dan Aselsan bertujuan untuk memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia dalam bidang kritikal seperti gelombang SDR, kecerdasan buatan (AI), dan kecerdasan siber.
“Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk melaksanakan teknologi SDR terkini, memastikan sektor pertahanan dan awam Malaysia dilengkapi dengan keupayaan komunikasi dan C2 yang canggih.
“Inisiatif ini termasuk pelaksanaan program pembangunan keupayaan jangka panjang, yang menggabungkan usaha pemindahan teknologi (ToT) yang akan memperkukuh sektor pertahanan dan awam Malaysia,” katanya lagi.
Selain itu, Sapura berkata, pihaknya dan Aselsan akan mempromosikan dan memperkenalkan penyelesaian inovatif, mengukuhkan kehadiran mereka dalam pasaran pertahanan global.
Dengan lebih 100 tahun gabungan kepakaran, Sapura dan Aselsan berdedikasi untuk memupuk pertukaran teknologi-ekonomi timbal balik antara Malaysia dan Turkiye yang akan memacu inovasi, meningkatkan keselamatan negara.
Selain itu ia juga mampu meletakkan Malaysia sebagai hab utama untuk teknologi pertahanan dan keselamatan awam yang lebih maju.