Saman sivil DOJ tidak jejas sentimen pelabur

Pritha Manivannan
Ogos 18, 2016 18:07 MYT
Saman sivil DOJ ke atas syarikat pelaburan 1MDB tidak akan jejas sentimen pelabur kerana pelabur global melihat perspektif yang lain. - Gambar hiasan
Ketua Pegawai Pelaburan Affin Hwang Asset Management, David Ng berkata tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan saman sivil ke atas syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan menjejaskan sentimen pelabur terhadap Malaysia.
Katanya, ini kerana pelabur sudahpun mengetahui segala maklumat mengenai 1MDB sebelum ini.
"Pelabur global melihat perspektif yang lain. Bagi saya puncak berita negatif itu dan segala maklumat mengenainya sudah diketahui ramai.
"Kita tidak harus berhubung kait isu mengenai laporan DOJ dan pasaran. Impaknya sudah dijangka pasaran," kata David
Sementara itu, Affin Hwang Asset Management senada dengan Bank Negara Malaysia, dengan menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4.0 hingga 4.5 peratus bagi 2016.
David menjangka ia disokong perbelanjaan kerajaan.
"Kami melihat peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan. Ia dapat dilihat melalui projek yang dilaksanakan terutamanya infrastruktur termasuk pengangkutan. Ia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan Malaysia," kata David.
David turut menjangkakan harga minyak kekal di bawah AS$60 setong.
Katanya, ekonomi negara tidak bergantung secara besar kepada harga minyak malah disokong cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Beliau turut menjangka Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar faedah sehingga akhir tahun ini.
Pasaran pelaburan menarik
Malaysia kekal menjadi pasaran pelaburan yang menarik berbanding negara lain di ASEAN.
Menurut David, ini dapat dilihat melalui pegangan asing bon kerajaan yang berada pada kadar tertinggi 51 peratus.
Tambah David, di samping kesuraman pasaran global, peluang pelaburan masih wujud.
"Kadar hasil bon kerajaan Malaysia menarik. Bon kerajaan Malaysia bagi tempoh 10 tahun memberi pulangan 3.5 peratus.
"Ia bukan kadar yang terlampau tinggi. Tetapi buat masa ini, pasaran maju juga hanya memberi pulangan kadar faedah negatif. Oleh itu, 3.5 peratus sangat menarik bagi pelabur," kata David.
Bagaimanapun katanya, prestasi ekuiti Malaysia tidak berapa memuaskan berbanding pasaran ASEAN yang lain.
Awal tahun ini, pasaran ekuiti menyaksikan jumlah aliran masuk pelaburan asing yang tinggi.
Ia kemudiannya menyusut pada April dan Mei.
David berkata jika Malaysia dapat mencatatkan pertumbuhan menjelang separuh kedua 2017, aliran masuk pelaburan asing dijangka akan meningkat.
Tambah beliau, pelabur turut memerhati pembaharuan dan penstrukturan semula di syarikat-syarikat utama.
Sebagai contoh, katanya perlantikan bekas menteri di jabatan perdana menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai pengerusi Permodalan Nasional Berhad mungkin berpotensi menambah baik sentimen pelabur.
#1MDB #Affin Hwang Asset Management #David Ng #DoJ #Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat
;