Salahkah swastakan lapangan terbang, soal Tony Fernandes

Najib Aroff
September 5, 2018 01:18 MYT
Fernandes harap hubungan antara AirAsia dan MAHB boleh diperbaiki meskipun wujud percanggahan idea serta pendapat antara mereka. - Gambar fail
Malaysia harus melihat kepada konsep penswastaan lapangan terbang berbanding membiarkan ia dikawalselia satu pihak, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
Menurutnya, jika lebuh raya dan pelabuhan di negara ini boleh dikendalikan syarikat swasta, tidak sepatutnya ada masalah untuk menswastakan lapangan terbang.
"(Jika lapangan terbang diswastakan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) boleh tumpu kepada pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.
"Biar pihak swasta uruskan lapangan terbang lain dan jana keuntungan,” katanya yang membuat saranan itu ketika ditemubual stesen radio BFM di sini hari ini.
Fernandes pada masa sama berharap hubungan antara AirAsia dan MAHB boleh diperbaiki meskipun wujud percanggahan idea serta pendapat antara mereka.
Ia terutamanya yang melibatkan urusan pengurusan lapangan terbang serta caj.
“Kami merupakan pelanggan terbesar MAHB. Jika kami mampu mempunyai hubungan yang baik dengan Airbus dan rakan perniagaan lain, maka kami berharap hubungan bersama MAHB juga mampu lebih baik," tambahnya.
Ketika ini, hampir kesemua lapangan terbang di Malaysia dikendalikan oleh MAHB.
#AirAsia #Airbus #KLIA #lapangan terbang #MAHB #Malaysia #swasta #Tony Fernandes